JTKNT buka dua kertas siasatan terhadap majikan

in Edisi Terengganu by


KEMAMAN – Jabatan Tenaga Kerja Negeri Terengganu (JTKNT) membuka kertas siasatan terhadap dua majikan di negeri ini selepas dipercayai tidak menyediakan dan tidak memberikan sesalinan kontrak perkhidmatan kepada pekerja mereka pada Ops Patuh IV.


Pengarah JTKNT, Burhanuddin Jusoh berkata, operasi itu dijalankan serentak di dua lokasi iaitu di Kemaman dan Kuala Terengganu.


Menurutnya, dua majikan berkenaan merupakan antara 10 majikan yang diperiksa dalam operasi yang dijalankan seramai sembilan pegawai penguat kuasa JTKNT.


“Daripada 10 majikan, lima daripadanya adalah majikan agensi pekerjaan swasta (APS), dua sektor pembinaan dan tiga lain-lain sektor.


“Hasil pemeriksaan yang dilakukan, kita membuka dua kertas siasatan terhadap dua majikan kerana melakukan pelanggaran di bawah Akta Kerja 1955,” katanya.


Kata Burhanuddin, jika sabit kesalahan, majikan boleh dikenakan penalti sebanyak RM10,000 bagi setiap kesalahan yang dilakukan.


“Sehubungan itu kita harap operasi yang dilakukan mampu memberi kesedaran kepada majikan untuk mematuhi peraturan dan menjaga kepentingan pekerja mereka,” katanya lagi.


Source: SH Edisi Terengganu

[featured-video-plus]