MBJB gempur premis cukai harta tertunggak

in Edisi Johor by


JOHOR BAHRU – Majlis Bandaraya Johor Bahru (MBJB) melaksanakan operasi sitaan cukai harta melibatkan jumlah tunggakan sebanyak RM200,000, semalam.


Datuk Bandar MBJB, Amran A Rahman berkata, operasi itu melibatkan 15 hingga 20 pegangan bagi harta perdagangan dan perindustrian.


Menurutnya, tindakan diambil selaras Seksyen 148 Akta Kerajaan Tempatan 1976.


“Operasi sitaan ini dijalankan terhadap pegangan yang mempunyai tempoh tunggakan cukai harta dua tahun ke atas.


“Jumlah tunggakan cukai harta dalam operasi kali ini adalah sebanyak RM200,000,” katanya.


Amran berkata, operasi sitaan seperti itu akan dijalankan secara berperingkat dari semasa ke semasa.


“Adalah diharapkan agar melalui operasi yang dijalankan ini, warga bandar raya Johor Bahru sedar akan kepentingan dan tanggungjawab pembayaran cukai harta pada masa yang telah ditetapkan,” katanya.


Sementara itu, pelbagai alasan diberikan pemilik perniagaan komersial di daerah ini, apabila MBJB melakukan operasi sitaan di premisnya, selepas didapati gagal menjelaskan tunggakan cukai harta.


Pemilik premis di Bandar Baru Uda di sini, itu mengakui tidak melunaskan tunggakan cukai harta sebanyak RM15,000 sejak 2013.


Alasan diberikan pemilik itu adalah kerana terlalu sibuk dengan uru­san perniagaannya, selain meminta tunggakan dibayar secara beransur-ansur.


Bagaimanapun, alasan diberikan tidak diterima oleh anggota MBJB susulan waran sitaan telah dikeluarkan.


Pemilik kedai terbabit akhirnya akur dan membayar keseluruhan tunggakan melalui dua keping cek syarikat yang telah dikeluarkan pihaknya.


Source: SH Edisi Johor

[featured-video-plus]