Nelayan tempatan dicekup gaji warga asing

in Edisi Terengganu by


KUALA TERENGGANU – Sebuah bot kelas C milik seorang nelayan tempatan ditahan Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim) Terengganu selepas didapati menggaji pekerja asing tanpa kebenaran yang sah.


Turut ditahan tujuh awak-awak termasuk tekong warga Thailand yang berusia antara 26 hingga 51 tahun , di lokasi 21 batu nautika Kuala Terengganu, di sini, Sabtu lalu.


Maritim turut merampas hasil laut iaitu pelbagai sotong dan ikan yang dianggarkan hampir lima tan serta 3,000 liter minyak diesel.


Pengarah Maritim Terengganu, Kapten Maritim, Muhammad Suffi Mohd Ramli berkata, penahanan bot milik nelayan dari Pulau Duyong, di sini, dilakukan kira-kira jam 11 malam oleh Kapal Maritim KM Nusa yang melakukan rondaan Op Iman secara berkala.


“Pemeriksaan lanjut mendapati bot berpendaftaran tempatan jenis kelas C melakukan kesalahan melanggar syarat lesen yang dikeluarkan iaitu melakukan aktiviti menangkap ikan di bawah kawasan yang dibenarkan.


“Bot tersebut seterusnya dibawa ke Jeti Maritim Terengganu, di sini, pada keesokan harinya (Ahad) untuk siasatan lanjut dibawah Seksyen 8 (b) 1985 Akta Perikanan kerana menangkap ikan dibawah kawasan yang dibenarkan mengikut syarat lesen,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.


Muhammad Suffi berkata, siasatan di bawah Seksyen 6 (1) (c) Akta Imigresen kerana tidak mempunyai pengenalan diri dan permit kerja yang sah turut dijalankan.


Sementara itu, Muhammad Suffi menegaskan pihaknya tidak akan sesekali berkompromi dengan mana-mana pihak terutama yang melakukan sebarang salah laku dan menyalahguna lesen yang dikeluarkan oleh pihak berkuasa.


“Rondaan dan pemantauan akan terus dipertingkatkan dari masa ke semasa untuk mencegah sebarang aktiviti yang menyalahi undang-undang Maritim.


“Justeru itu, kerjasama daripada masyarakat terutama nelayan tempatan untuk melaporkan sebarang maklumat dan salah laku yang berlaku di perairan negara ke talian MERS 999 atau 09-6224357 (Pusat Operasi) Maritim Terengganu,” katanya.


Source: SH Edisi Terengganu

[featured-video-plus]