Nicol terbaik dunia sepanjang zaman!

in Sukan by


RATU skuasy negara, Datuk Nicol Ann David mencipta sejarah tersendiri apabila diundi sebagai pemain skuasy wanita terbaik sepanjang zaman (Greatest of All Time).


Penghargaan itu diraih beliau hasil undian peminat skuasy seluruh dunia yang dijalankan di laman web Persatuan Skuasy Profesional (PSA).


Bercakap di laman Twitternya, Nicol menyifatkan gelaran itu sebagai penghargaan terbaiknya sepanjang berada dalam arena skuasy dunia.


“Sangat menakjubkan! Ini satu penghargaan sebenar untuk saya apabila diangkat sebagai pemain wanita terbaik sepanjang zaman.


“Terima kasih kepada semua yang mengundi saya. Saya merasakan gelaran ini sebagai sesuatu yang sukar ditandingi sepanjang saya bergelar pemain skuasy,” katanya.


Bagi kategori lelaki, pemain Pakistan, Jahangir Khan telah dipilih sebagai pemain terbaik sepanjang zaman hasil undian peminat.


Nicol bukan nama asing dalam persada skuasy dunia. Atlet kelahiran Pulau Pinang berusia 35 tahun itu mencipta rekod sebagai pemain nombor satu dunia paling lama dalam sejarah iaitu selama 109 bulan.


Beliau juga pernah memenangi kejohanan dunia sebanyak lapan kali, gelaran Terbuka British lima kali dan telah memenangi 81 gelaran PSA sepanjang kariernya.


Source: SH Sukan

[featured-video-plus]