Penduduk rayu jumpa MB Kedah

in Edisi Utara by


KULIM – Penduduk Kampung Sungai Tengas merayu Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Mukhriz Mahathir turun ke kawasan itu untuk menyelesaikan isu tuntutan berkaitan tanah Hutan Simpan Gunung Bongsu.


Jurucakap Jawatankuasa Bertindak Kampung Sungai Tengas, Suhar Mohd Sharif berkata isu tersebut akan selesai sekiranya ada pertemuan secara langsung semua penduduk terlibat di sini.


Menurutnya, perkara ini tidak boleh dianggap selesai selagi masih ada tuntutan penduduk yang tidak ditunaikan pihak kerajaan.


“Masih tidak selesai, tiga daripada empat tuntutan kami belum ditunaikan.


“Kami mahu geran Lot PT686 dan compartment 28 Hutan Simpan Gunung Bongsu dibatalkan, gazetkan hutan simpan ini sebagai KSAS1 (kawasan sensitif alam sekitar tahap 1) dan membenarkan kami perbaharui permit air.


“Jadi MB selaku pengerusi syarikat Menteri Besar Incorporation (MBI) perlu turun sendiri dan berbincang dengan kami untuk selesaikannya segera,” katanya kepada Sinar Harian.


Katanya, kerajaan tidak boleh memberi alasan lagi untuk mengadakan aktiviti pembalakan di kawasan ini atau di mana-mana hutan simpan kerana telah menerima dana dari persekutuan.


“Kerajaan negeri telah pun terima dana daripada persekutuan RM10juta setiap supaya kerajaan tidak lagi mengharapkan pembalakan sebagai sumber ekonomi utama negeri.


“Lagi pun hutan simpan ini penting untuk terus menjaga kawasan tadahan air selain mengelakkan pelbagai kejadian tidak diingini termasuk banjir kilat dan kerugian kepada petani dan penternak ikan hiasan yang diusahakan jabatan pertanian,”katanya.


Sebelum ini, Sinar Harian melaporkan, penduduk kampung telah mengadakan beberapa pertemuan bersama Ahli Parlimen Kulim-Bandar Baharu Datuk Saifuddin Nasution Ismail, Adun Kulim Yeo Keng Chuan serta agensi-agensi kerajaan terlibat bagi membincangkan isu pembalakan dan kuari di kawasan itu.


Dalam pertemuan itu, Saifuddin berkata, isu tersebut telah selesai memandangkan Ketua Setiausaha Negara telah mengeluarkan arahan pemberhentian  projek kuari dan pembalakan di situ.


Bagaimanapun, penduduk kampung melalui jawatankuasa bertindak menyatakan perkara itu belum selesai selagi tiga tuntutan mereka tidak ditunaikan.

 


Source: SH Edisi Utara

[featured-video-plus]