'Perwakilan boleh tengok kad laporan saya'

in Nasional by


SHAH ALAM – Timbalan Presiden PKR, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali menyerahkan kepada perwakilan untuk menentukan sama ada beliau perlu terus memimpin parti, dengan berpandukan kepada rekod pencapaian beliau, yang berkhidmat kepada parti selama hampir 20 tahun.


Mohamed Azmin, yang akan mempertahankan jawatan itu dalam pemilihan parti akan datang, berkata, beliau percaya dengan kebijaksanaan perwakilan untuk mengundi seorang pemimpin yang pada pandangan mereka, boleh memperkukuhkan perpaduan dan menggunakan pendekatan inklusif untuk melakukan perubahan  kepada parti.


“Saya di sini untuk mengekalkan kedudukan saya sekarang dan telah berada dalam parti selama 20 tahun. Mereka (perwakilan) kenal saya.. mereka telah melihat rekod pencapaian saya. Saya serahkan kad laporan saya kepada mereka untuk dinilai sekiranya mereka memutuskan saya perlu kekal dan memimpin parti,” katanya kepada pemberita ketika persidangan Dewan Undangan Negeri Selangor berhenti rehat untuk makan tengah hari, di sini hari ini.


[ARTIKEL BERKAITAN: ‘Siapa budak-budak kecil nak persoalkan kesetiaan saya’]


Mohamed Azmin yang juga Menteri Hal Ehwal Ekonomi dan Adun Bukit Antarabangsa akan berdepan Rafizi Ramli bagi jawatan Timbalan Presiden PKR pada pemilihan parti yang akan berlangsung selama sembilan minggu bermula bulan ini.


Dalam perkembangan lain, Mohamed Azmin meminta Jabatan Peguam Negara supaya memberi penjelasan tentang pengguguran pertuduhan rasuah terhadap Menteri Kewangan Lim Guan Eng.


“Saya percaya Jabatan Peguam Negara akan buat penjelasan tentang perkara ini supaya tidak timbul tafsiran salah yang boleh merosakkan persepsi umum terhadap institusi seperti Jabatan Peguam Negara,” katanya.


Semalam, Mahkamah Tinggi Pulau Pinang membebaskan Guan Eng yang juga bekas Ketua Menteri Pulau Pinang, dan seorang ahli perniagaan Phang Li Koon, atas pertuduhan rasuah berhubung pembelian sebuah banglo di bawah nilai pasaran.


Menurut laporan, peguam yang mewakili Guan Eng sebelum ini mengemukakan representasi bertulis yang memohon supaya pertuduhan itu ditarik balik, dan permohonan itu diterima oleh Jabatan Peguam Negara.


Dalam prosiding semalam, pihak pendakwaan memohon pembebasan bersyarat yang akan membolehkan mereka memperbaharui semula pendakwaan selepas ini.


Hakim Mahkamah Tinggi Hadhariah Syed Ismail bagaimanapun menolak permohonan itu dan membenarkan Lim dan Phang dibebaskan serta dilepaskan. – Bernama


Source: SH Nasional

[featured-video-plus]