Projek naik taraf Jalan Balakong bukan untuk raih undi

in Nasional by


BALAKONG – Projek menaik taraf Jalan Balakong bertujuan memberi keselesaan kepada penduduk setempat dan tidak berkaitan atau bertujuan meraih undi bagi calon PH pada PRK Balakong pada Sabtu, kata Menteri Kerja Raya, Baru Bian.


Beliau berkata, projek yang menelan belanja RM8 juta itu bukanlah medium untuk meraih sokongan melalui projek tanggungjawab sosial korporat (CSR) yang dijalankan sepenuhnya oleh syarikat pemaju swasta.


“Syarikat pemaju iaitu Parkland Group sedang menjalankan projek pembinaan kondominium di lokasi berhampiran dan projek naik taraf ini dilakukan serentak demi keselesaan bakal penghuni dan masyarakat setempat.


[ARTIKEL BERKAITAN: PRK Balakong: Antara balak, kongsi dan pajakan tanah]


“Kami cuba bawa pembangunan di mana-mana sahaja. Kebetulan ia berlaku ketika pengundian dan kita teruskan apa yang dirancang. Saya percaya rakyat boleh membuat kesimpulan  mereka sendiri. Itu tidak mengapa,” katanya kepada pemberita selepas merasmikan projek menaik taraf Jalan Balakong di sini, hari ini.


Projek menaik taraf Jalan Balakong sepanjang 800 meter itu kepada jalan berkembar empat lorong serta menaik taraf dua persimpangan berlampu isyarat dan pemasangan lampu jalan, saliran longkang dan pengalihan utiliti akan bermula bulan ini dan dijadual siap sepenuhnya dalam tempoh enam bulan.


PRK Balakong pada Sabtu ini diadakan berikutan kematian penyandangnya Eddie Ng Tien Chie dalam kemalangan jalan raya 20 Julai lepas menyaksikan pertandingan satu lawan satu calon MCA Tan Chee Teong dan calon PH Wong Siew Ki.


Sementara itu, dalam  majlis berasingan, Baru berkata, kerajaan PH akan terus memberi keutamaan kepada projek yang memberi manfaat kepada rakyat.


“Kami komited terhadap pembangunan lestari yang mengikut kehendak rakyat dan mahu melaksanakan lebih banyak pembangunan khususnya pembinaan sekolah di seluruh negara,” katanya ketika melawat Sekolah Kebangsaan (SK) Taming Jaya, yang dinaik taraf di bawah Projek Menaik Taraf Sekolah Daif.


Projek pembinaan semula bangunan sekolah, yang menggunakan kaedah Sistem Binaan Berindustri (IBS) dan menelan belanja RM5 juta, dimulakan sejak 7 Mac dan dan siap sepenuhnya pada 8 Julai lepas.


Ia menggantikan bangunan yang mengandungi 15 bilik darjah yang usang dan tidak selamat untuk digunakan.


Baru berharap ia dapat mengurangkan masalah kepadatan pelajar di dalam kelas dan memberi keselesaan kepada warga sekolah itu. – Bernama


Source: SH Nasional

[featured-video-plus]