Sinar Harian ungguli anugerah APM

in Edisi by


KLANG – Sinar Harian antara organisasi media yang terpilih menerima anugerah penghargaan sempena Majlis Perutusan Amanah dan Perhimpunan Bulanan Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) Negeri Selangor 2018, pagi tadi.


Seramai empat wartawan Sinar Harian iaitu Arziana Mohmad Azaman, Mohd Ridzuan Abu Hassan,


Mohd Izzatul Izuan Tahir dan Ismadi Ismail menjadi sebahagian 10 petugas media organisasi lain diraikan di Dewan Serbaguna Pejabat Tanah dan Daerah Klang.


Dalam majlis sama, seramai 10 anggota menerima kenaikan pangkat daripada Prebet ke Lans Koperal sehingga Sarjan manakala tujuh pegawai bersekutu pingat serta sijil penghargaan.


Pengarah APM Negeri Selangor, Kolonel (PA) Ghazali Abd Rahman berkata, pengiktirafan ini sebagai menghargai jasa media yang banyak membantu melaporkan aktiviti dan operasi APM.


Menurutnya, pihak APM berterima kasih kepada petugas media yang terus memberi komitmen melaporkan berita dan anggota yang bertungkus-lumus menjayakan misi kes bencana.


“Bagi saya, penghargaan ini penting untuk kelangsungan kerjasama dengan organisasi media pada masa akan datang dan sukarelawan APM yang tidak pernah kenal erti penat.


“Ini kerana APM bukan terlibat secara langsung dalam gerak kerja pilihanraya tapi bantu menyelesaikan kes bencana yang tidak disangka,” katanya selepas merasmikan majlis penyampaian anugerah itu.


Sementara itu, bekas anggota APM veteran, Wan Harun Wan Jaafar, 66, turut terharu menerima sijil penghargaan APM sekali gus menjadi kenangan yang tidak dapat dilupakan.


“Saya sudah berkhidmat 32 tahun dalam APM ketika masih bekerja sebagai juru teknik di Pelabuhan Klang. Memang saya suka aktiviti luar yang mencabar dan sebab itu mahu sertai APM.


“Banyak pengalaman tak boleh dilupakan termasuk membantu mangsa cedera ketika rusuhan Pati…memang panik sebab mereka menggunakan senjata tajam tapi demi tugas, saya bantu selamatkan mangsa cedera.


“Banyak manfaat sertai APM ni dan saya cadangkan anak muda ambil peluang untuk jadi sukarelawan. Seronok bantu operasi sebab banyak ilmu boleh dapat,” katanya kepada Sinar Harian.


Source: SH Edisi

[featured-video-plus]