Sokongan rakyat tidak terjejas

in Nasional by


SHAH ALAM – Sokongan rakyat terhadap kerajaan PH tidak akan terjejas meskipun pelbagai pihak menyuarakan pandangan mengenai penarik balikan pendakwaan kes rasuah ke atas Menteri Kewangan, Lim Guan Eng.


Penganalisis politik, Prof Madya Dr Ahmad Martadha Mohamed berkata, isu itu dilihat tidak begitu besar pada masyarakat walaupun mereka cenderung melihat perkara tersebut, apatah lagi selepas Jabatan Peguam Negara memberi penjelasan berhubung tindakan mereka.


Katanya, isu itu mungkin hanya dilihat kumpulan-kumpulan yang mengambil kira aspek perundangan sahaja, tetapi tidak bagi mereka yang tidak mengikuti perkembangan berkenaan atau membuat komen berhubung perkara itu.


“Dalam konteks hari ini, isu-isu ini sering kali dimainkan pelbagai pihak untuk menunjukkan kelemahan dari segi pentadbiran, namun dari segi fakta, ia bukanlah perkara baharu kerana sebelum ini banyak kali berlaku.


“Jabatan Peguam Negara misalnya banyak menarik semula (kes) bergantung kepada keadaan semasa seperti mana yang kita lihat zaman BN dulu, (di mana) banyak kes-kes berkaitan dengan Akta Hasutan melibatkan ahli-ahli politik, tuduhan terhadap mereka ditarik balik,” katanya kepada Sinar Harian.


[ARTIKEL BERKAITAN: Bebas tuduhan rasuah sebab keterangan lemah]


[ARTIKEL BERKAITAN: Guan Eng bebas tuduhan rasuah]


Jabatan Peguam Negara petang semalam mengeluarkan kenyataan media menjelaskan keputusan ‘nolle prosequi’ iaitu pihak pendakwaan membuat keputusan tidak meneruskan pendakwaan kerana keterangan telah dilemahkan secara substantif.


Timbalan Pendakwa Raya Jabatan Peguam Negara, Datuk Mohamad Hanafiah Zakaria berkata, ia dibuat selepas meneliti keterangan-keterangan berdasarkan penyiasatan dilakukan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) dan keterangan dikemukakan saksi-saksi pendakwaan di mahkamah, yang telah diuji dengan pemeriksaan balas.


Kelmarin, Mahkamah Tinggi Pulau Pinang menggugurkan kes rasuah Guan Eng dan ahli perniagaan, Phang Li Koon berhubung pembelian banglo di bawah harga pasaran.


Dalam pada itu, Ahmad Martadha berpandangan, ramai rakyat yang tidak berpuas hati dengan penarikan kes berkenaan semalam kerana ia melibatkan nama besar dalam politik negara, yang juga menteri Kabinet.


“Namun, saya melihat, walaupun beliau (Guan Eng) dibebaskan, tetapi pihak mahkamah masih boleh membuat sesuatu tuduhan kerana ia bukan pembebasan penuh (dilepaskan tanpa dibebaskan).


“Selepas kenyataan dikeluarkan Jabatan Peguam Negara hari ini, mungkin ia mengurangkan sedikit rasa tidak puas hati dalam kalangan sesetengah masyarakat. Namun bagi pihak yang tidak berpuas hati akan terus menyatakan Jabatan Peguam Negara tidak sepatutnya tarik balik dakwaan terhadap Guan Eng,” katanya.


Source: SH Nasional

[featured-video-plus]