Tiada cadangan wajib orang awam keluar mengundi

in Politik by


SHAH ALAM – Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) tidak bercadang menguatkuasakan undang-undang mewajibkan orang awam keluar mengundi.


Sebaliknya menurut Setiausaha SPR, Datuk Mohamed Elias Abu Bakar, galakan dan kempen dibuat sebagai meningkatkan kesedaran pengundi yang layak untuk menunaikan tanggungjawab.


“Setakat ini kita menggunapakai peruntukan undang-undang sedia ada tidak mewajibkan pengundi keluar undi tapi menggalakkannya berbuat demikian,” katanya.


Beliau berkata demikian sebagai mengulas kadar peratusan pengundian yang rendah di Kompleks SMS PDRM, di sini.


Sehingga jam 11 pagi tadi sekurang-kurangnya 40 peratus anggota polis keluar undi.


Terdahulu, beliau bersama bersama Timbalan Pengerusi SPR, Tan Sri Othman Mahmood  dan Pegawai Pengurus SPR Dun Seri Setia, Datuk Mohd Azizi Mohd Zain hadir menjalankan pemantauan proses pengundian di Kompleks SMS PDRM.


Seramai 2,770 pengundi awal berdaftar di  Dun Seri Setia melibatkan 2,597 tentera di Dewan Serbaguna Ababil, Pangkalan Udara Subang.


Sementara 173 anggota polis membuang undi di Kompleks SMS PDRM di sini.


Kertas undi awal akan dikira 8 September ini di tempat pengiraan undi yang ditetapkan SPR dengan disaksikan oleh ejen calon masing-masing.


Source: SH Politik

[featured-video-plus]