Tunggu penjelasan Peguam Negara

in Nasional by


SHAH ALAM –  Pejabat Peguam Negara perlu membuat penjelasan terperinci berhubung keputusan Mahkamah Tinggi Pulau Pinang yang membebaskan bekas Ketua Menteri Pulau Pinang,  Lim Guan Eng daripada tuduhan rasuah berkaitan urus niaga tanah serta pembelian sebuah banglo di bawah harga pasaran.


Menteri Hal Ehwal Ekonomi,  Datuk Seri Mohamed Azmin Ali berkata, penjelasan itu sangat penting supaya tidak timbul tafsiran yang boleh merosakkan persepsi umum terhadap institusi Jabatan Peguam Negara.


“Saya percaya Pejabat Peguam Negara akan buat penjelasan mengenai perkara ini.


“Ia sekaligus akan dapat mengelak tafsiran salah,” katanya ketika ditemui di Sidang Dun Selangor,  hari ini.


Semalam, keputusan Mahkamah Tinggi Pulau Pinang membebaskan Guan Eng dan ahli perniagaan,  Phang Li Koon daripada pertuduhan rasuah yang dibuat terhadap mereka pada 2016 mendapat reaksi pelbagai pihak antaranya  oleh Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) serta Pengarah Eksekutif Centre To Combat Corruption And Cronyism (C4), Cynthia Gabriel.


SPRM dilaporkan berkata keputusan menarik balik kes tersebut diputuskan oleh Pejabat Peguam Negara bukannya SPRM.


Terdahulu,  Guan Eng dituduh menyalahgunakan kedudukannya sebagai Ketua Menteri Pulau Pinang ketika meluluskan satu urus niaga tanah termasuk pembelian sebuah banglo pada Julai 2015.


SPRM mula menyiasat Guan Eng pada Mac 2016 selepas satu laporan dibuat terhadapnya kerana membeli banglo terbabit.


Selain itu, Guan Eng juga gagal memaklumkan hubungan dan kepentingannya kepada Mesyuarat Jawatankuasa Perancangan Negeri ketika beliau meluluskan permohonan zon semula dua bidang tanah daripada tanah pertanian kepada tanah perumahan kepada syarikat Magnificient Emblem Sdn Bhd di mana Li Koon adalah pengarahnya.


Source: SH Nasional

[featured-video-plus]