Undi awal PRK Dun Seri Setia, Balakong hari ini

in Politik by


SHAH ALAM – Proses pengundian awal bagi PRK Dun N27 Balakong dan N32 Seri Setia, berlangsung hari ini.


Seramai 2,801 orang pengundi awal  dijangka akan menunaikan kewajipan masing-masing.


Daripada jumlah itu, 31 pengundi awal di Dun Balakong terdiri daripada anggota polis.


Pengundian awal Dun Balakong dibuat di ruang legar kuarters Balai Polis Seri Kembangan, pusat pengundian awal itu dibuka mulai jam 8 pagi hingga 12 tengah hari ini.


Manakala bagi proses pengundian awal di Dun Seri Setia pula melibatkan seramai 2,770 orang pengundi awal meliputi 2,597 anggota tentera serta pasangan mereka dan 173 orang anggota polis.


Bagi anggota tentera serta pasangan, mereka akan mengundi di Dewan Serbaguna Ababil, Pangkalan Udara Subang.


Manakala bagi anggota polis pula mereka akan mengundi di Kompleks SMS Polis Diraja Malaysia (PDRM), Shah Alam. Pusat pengundian awal itu akan dibuka mulai jam 8 pagi hingga 5 petang ini.


Ahli Suruhanjaya, Suruhanjaya Pilihan Raya Malaysia (SPR) , Datuk Md Yusop Mansor dalam satu kenyataan sebelum ini berkata, proses pengundian awal akan disaksikan ejen calon bertanding di bahagian pilihan raya berkenaan.


Kertas undi awal tidak akan dikira di tempat mengundi (saluran) hari ini, sebaliknya akan disimpan di tempat yang selamat iaitu di lokap-lokap balai polis.


“Pengiraan kertas undi awal hanya akan dijalankan pada 8 September secara berkelompok di tempat pengiraan undi yang ditetapkan SPR dengan disaksikan oleh ejen-ejen calon masing-masing,” katanya.


Pakatan Harapan (PH) menampilkan bekas Ahli Majlis MBPJ, Halimey Abu Bakar sebagai calon manakala Pas menampilkan Dr Halimah Ali pada PRK Dun Seri Setia.


PRK Balakong pula menyaksikan pertembungan antara calon PH, Wong Siew Ki dan Tan Chee Teong (MCA).


Kerusi Dun Balakong kosong ekoran kematian penyandangnya , Eddie Ng Tien Chee, 20 Julai lalu.


Manakala PRK Dun Seri Setia pula diadakan selepas kematian penyandangnya, Prof Dr Shaharuddin Badaruddin 2 Ogos lalu.


Source: SH Politik

[featured-video-plus]