19 ular berbisa diserah kepada Perhilitan

in Edisi Utara by


SUNGAI PETANI – Sebanyak 19 ular diserahkan kepada Jabatan Perhilitan Daerah Kuala Muda hasil tangkapan Angkatan Pertahanan Awam (APM) Daerah dalam tempoh dua minggu.


Pegawai Pertahanan Awam Kuala Muda, Kapten Azahar Ahmad berkata, antara tangkapan yang diserahkan termasuk 10 ular sawa, tiga ular tedung selar dan enam ular tedung senduk.


Menurutnya, kesemua tangkapan ditempatkan di Rumah Haiwan APM sebelum diserahkan Jabatan Perhilitan apabila jumlahnya semakin meningkat.


“19 ular ini terdiri daripada reptilia bersaiz besar dan berbisa yang ditangkap sepanjang Ogos, kita serahkan kepada Jabatan Perhilitan untuk tindakan selanjutnya,” katanya.


Menurutnya, ini penyerahan kali kedua dilakukan sepanjang Ogos memandangkan jumlah tangkapan haiwan berbisa semakin meningkat berbanding bulan sebelumnya.


“Kalau nak dibandingkan jumlah keseluruhan kes yang diterima bermula Jun ialah sebanyak 238 kes di mana kes membabitkan ular ialah 100 ekor, manakala bagi Julai jumlah keseluruhan kes mencecah 315 dan kes ular 126 ekor.


“Kita menerima jumlah kes sama sepanjang Ogos iaitu sebanyak 315 kes keseluruhan namun kes membabitkan haiwan berbisa iaitu ular meningkat kepada 140 ekor yang ditangkap,” katanya.


Katanya, sepanjang empat hari pertama September, pihaknya menerima sebanyak 27 kes keseluruhan di mana membabitkan tangkapan ular sahaja sebanyak 11 kes.


Selain tangkapan haiwan berbisa, APM juga menjalankan operasi membabitkan kemalangan jalan raya, memusnah sarang serangga berbisa, membantu orang sakit dan lain-lain kes.      


Source: SH Edisi Utara

[featured-video-plus]