Agenda serang Tun M, DAP

in Nasional by


TAIPING – Solidariti Tun Mahathir menganggap penganjuran Himpunan Melayu Bangkit di Pasir Salak, Sabtu lalu adalah satu agenda politik retorik pihak pembangkang semata-mata untuk ‘menyerang’ Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad dan DAP.


Jurucakap Solidariti Tun Mahathir, Datuk Shaharuddin Abdul Rashid berkata, himpunan dihadiri beberapa tokoh besar Umno seperti Setiausaha Agung Umno, Tan Sri Annuar Musa dan Ketua Pemuda Umno, Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki ketika sambutan hari kemerdekaan negara itu adalah satu usaha provokasi untuk memainkan api sentimen perkauman dan sensitiviti agama dalam kalangan orang Melayu.


Menurutnya, usaha provokasi dan serangan bersifat rasis sebegini tidak sesuai lagi diamalkan pemimpin Umno, apatah lagi mereka pernah diberi mandat memerintah dan  mentadbir malah membuat dasar negara sejak lebih 60 tahun.


Katanya, sebagai tokoh-tokoh Melayu berpengalaman, mereka sepatutnya melihat keberkesanan pentadbiran kerajaan BN ketika memegang tampuk kuasa dalam tempoh agak lama dahulu.


“Mereka perlu menilai sejauh mana pencapaian dan pemilikan aset orang Melayu dalam sistem ekonomi yang dasarnya mereka sendiri gubal selama ini.


“Mereka juga perlu melihat kadar pengangguran graduan semakin meningkat, bebanan hutang PTPTN ditanggung anak bangsa, kos sara hidup dan kenaikan harga barang dikaitkan dengan GST


“Tidakkah mereka dapat merasakan bahawa orang Melayu yang paling tertekan dengan masalah tersebut sebelum ini?”katanya kepada media di sini hari ini.


[ARTIKEL BERKAITAN: Isyarat Melayu mula bangkit]


Shaharuddin berkata, sepatutnya pemimpin-pemimpin Melayu yang masih mempersoalkan kemandirian bangsa ini, turut tampil membantu dan bekerjasama dengan kerajaan baharu di bawah pimpinan Tun Mahathir bagi mencapai usaha membantu kaum Melayu.


Menurutnya, sebarang inisiatif perhimpunan diselangi ucapan-ucapan retorik dan provokatif sebenarnya tidak membantu kerajaan hari ini untuk mencari jalan terbaik membela nasib kaum Melayu.


“Kerajaan hari ini sedang berusaha membaiki permasalahan ekonomi dan kewangan negara yang ‘rosak’ dan dikaitkan dengan salah guna kuasa serta bebanan hutang lebih RM1 trilion.


“Saya yakin harapan orang Melayu di negara ini adalah mahu melihat semua pemimpin Melayu dari pelbagai parti politik atau NGO bersama-sama Tun Mahathir menyusun semula sistem kewangan, pengurusan hutang di samping membuka kembali peluang-peluang pekerjaan dengan usaha menarik lebih ramai pelabur luar ke negara ini.


“Mereka juga amat berharap usaha pendakwaan terhadap pemimpin-pemimpin terbabit dalam rasuah dan salah guna kuasa selama ini dapat dijalankan segera, bukan sekadar memberi ucapan provokatif untuk menakutkan orang Melayu,”katanya.

 


Source: SH Nasional

[featured-video-plus]