'Chee Teong tak faham tugas Adun'

in Edisi by


SHAH ALAM – Dakwaan calon MCA PRK Balakong, Tan Chee Teong yang mengatakan penurunan jumlah soalan dikemukakan untuk Persidangan Dewan Negeri (Dun) Selangor berpunca dari Adun baharu yang dikatakan tidak tahu  buat kerja serta tidak menyerahkan soalan awal disifatkan sebagai tuduhan tidak berasas.


Bekas Exco Selangor, Ean Yong Hian Wah berkata, tuduhan itu hanya mencerminkan peribadi pemimpin MCA yang lemah serta tidak matang.


Beliau berkata, kenyataan Chee Teong itu juga jelas menunjukkan beliau tidak memahami peranan serta tugas sebenar sebagai seorang Adun.


Katanya, beliau sepatutnya membuat ‘research’ sebelum bercakap.


“Untuk soalan Dewan,  setiap kawasan atau Dun mempunyai isu berlainan, maka Adun akan mengemukakan jumlah soalan yang berbeza kepada kerajaan negeri.


“Jika masalah banyak,  soalan diajukan juga banyak dan jika masalah di kawasan Adun tersebut kurang, soalan dikemukakan juga sedikit… Ia perkara biasa, “katanya pada sidang akhbar di lobi Dewan Negeri Selangor, semalam.


Difahamkan, setiap Adun juga dibenarkan mengemukakan 10 soalan lisan dan 10 soalan bertulis di dalam Dewan.


Hian Wah yang juga Adun Seri Kembangan berkata, Adun juga berperanan untuk mengambil bahagian dalam sesi perbahasan untuk membangkitkan isu di kawasan mereka serta terlibat dalam jawatankuasa dewan yang berlainan.


“Apa yang penting untuk menilai prestasi seseorang bukannya dengan melihat jumlah soalan yang dikemukakan ketika sidang Dewan tetapi ada banyak aspek lain yang boleh diambil kira, “katanya.


Terdahulu, Chee Teong dilaporkan berkata, di Selangor yang mempunyai 51 Adun dan hanya lima pembangkang, menyaksikan penurunan jumlah soalan dikemukakan untuk persidangan Dun daripada lebih 700 sebelum ini kepada hanya 420 soalan.


Katanya, penurunan tersebut disebabkan kebanyakan Adun masih baharu dan tidak tahu prosedur yang betul dan terlepas tempoh serah soalan mereka.


“Ini tidak boleh diterima kerana ia tanggungjawab Adun untuk kemukakan soalan, membahas. Kalau gagal dalam tugas asas ini, apa lagi boleh harap mereka lakukan untuk rakyat,” katanya pada satu sidang media pada Sabtu lalu.


Source: SH Edisi

[featured-video-plus]