Dua rakyat Rusia dikenal pasti suspek kes Skripal

in Global by


LONDON – BRITAIN. Pendakwa raya Britain hari ini mengenal pasti dua warga Rusia sebagai suspek dalam kes meracun bekas perisik, Sergei Skripal dan anak perempuannya, Yulia.


Menurut Scotland Yard, terdapat bukti mencukupi untuk mendakwa Alexander Petrov dan Ruslan Boshirov berhubung serangan agen saraf Novichok terhadap Skripal, 66, dan anak perempuannya, Yulia, 33, yang ditemui tidak sedarkan diri di sebuah bangku awam di Salisbury pada 4 Mac lalu.


[ARTIKEL BERKAITAN: Rusia dalang serangan?]


Waran tangkap Eropah turut dikeluarkan terhadap kedua-dua rakyat Rusia dalam lingkungan 40-an berkenaan yang dipercayai melakukan perjalanan menggunakan nama palsu dan memiliki pasport Rusia.


“Kami tidak akan memohon ekstradisi Rusia terhadap mereka kerana perlembagaan negara itu tidak membenarkan ekstradisi warganya,” kata Pengarah Perkhidmatan Perundangan di Perkhidmatan Pendakwaan Diraja, Sue Hemming.


Kesalahan suspek termasuk konspirasi membunuh Sergei Skripal, cubaan membunuh Sergei Skripal, Yulia Skripal dan Nick Bailey, penggunaan dan pemilikan Novichok yang bertentangan dengan Akta Senjata Kimia serta menyebabkan kecederaan tubuh dengan niat terhadap Yulia Skripal dan detektif Nick Bailey yang jatuh sakit ketika menjalankan siasatan berhubung insiden terbabit.


Pihak polis Metropolitan mendedahkan, kedua-dua suspek tiba di Lapangan Terbang Gatwick dari Moscow pada 2 Mac lalu dan menetap di Hotel City Stay, timur London sebelum memulakan perjalanan ke Salisbury di mana kediaman Skirpal telah dicemari agen saraf gred tentera itu.- BBC/Reuters


Source: SH Global

[featured-video-plus]