Imigresen Johor usaha basmi Pati setiap hari

in Edisi Johor by


JOHOR BAHRU – Jabatan Imigresen Johor akan laksanakan operasi setiap hari bagi membasmi kehadiran pendatang asing tanpa izin (Pati) di negeri ini.


Pengarahnya, Datuk Rohaizi Bahari berkata, pihaknya sentiasa bersedia dalam menjalankan tanggungjawab seperti diamanahkan.


Katanya, hampir setiap hari tangkapan dibuat di seluruh negeri ini membabitkan Pati pelbagai warganegara.


Menurutnya, sejak awal tahun lagi usaha tersebut telah dilakukan.


“Saya nak betulkan sedikit di sini  berkenaan ops mega dijalankan 31 Ogos lalu itu bukan yang pertama.


“Kita jalankan tugas setiap hari, cuma ops mega itu dihebahkan kerana itu adalah permulaan yang selepas ini setiap Pati ditahan ataupun individu yang melindunginya akan dikenakan tindakan lebih tegas,” katanya kepada Sinar Harian.


Mengulas lanjut operasi berkenaan, Rohaizi berkata, tamat sahaja 30 Ogos lalu, semua Pati yang masih bersembunyi dan bekerja tanpa sebarang permit di negara ini sudah tidak dibenarkan pulang secara sukarela menerusi program (3+1).


“Semua Pati ditangkap selepas 30 Ogos lalu itu akan ditangkap dan didakwa dan kita akan buat tindakan undang-undang sewajarnya.


“Buat masa sekarang masih terlalu awal untuk kita tahu jumlah keseluruhan akan dimaklumkan nanti,” katanya.


Justeru, beliau berkata, pihaknya akan bertindak lebih tegas dan Pati tidak beri peluang lagi untuk balik secara sukarela.


“Sekiranya Pati itu ditangkap, majikan atau orang melindungi mereka pun kita akan dakwa,” katanya.


Sementara itu, Ketua Bahagian Penguatkuasa Imigresen Johor Masri Adul berkata, pihaknya telah menahan 141 Pati membabitkan pelbagai warganegara pada Ops Mega 3.0 yang diadakan baru-baru ini,


Katanya, operasi disertai seramai 70 anggota itu diadakan di atas sebuah penginapan pekerja asing bertempat di Hostel Pekerja Westlite, Taman Perindustrian Tebrau, Johor.


“Pemeriksaan dilakukan ke atas 1342 orang lelaki warganegara asing yang kemudiannya membawa kepada penahanan 141 orang atas pelbagai kesalahan imigresen.


“Mereka yang ditahan adalah warganegara Bangladesh (68 orang), Nepal (4), India (49), Indonesia (1) dan Pakistan (19),” katanya.


Katanya, 140 daripadanya gagal mengemukakan dokumen perjalanan di bawah Seksyen 6(1)(c) Akta Imigresen 1959/63 dan disyaki tidak mempunyai permit atau pas yang sah.


Tambahnya, seorang lagi ditahan di bawah Seksyen 15(1)(c) Akta Imigresen 1959/63 kerana tinggal lebih masa atas pas lawatan sosial.


Source: SH Edisi Johor

[featured-video-plus]