Kad prabayar dikecualikan cukai perkhidmatan mulai esok

in Nasional by


PUTRAJAYA – Kementerian Kewangan Malaysia (MOF) mengarahkan kesemua perkhidmatan telekomunikasi prabayar yang dibekalkan syarikat-syarikat telekomunikasi kepada pelanggan warganegara Malaysia dikecualikan daripada cukai perkhidmatan berkuatkuasa esok.


Menterinya, Lim Guan Eng berkata, pengecualian berkenaan adalah berdasarkan kepada Seksyen 34(3)(a) Akta Cukai Perkhidmatan 2018.


Menurutnya, melalui pengecualian berkenaan, pelanggan perkhidmatan telekomunikasi prabayar akan mendapat nilai kredit sepenuhnya apabila membuat tambah nilai dan tidak lagi dikenakan cukai perkhidmatan.


“Ini adalah perlu untuk mengatasi masalah daripada syarikat-syarikat telekomunikasi yang menghadapi kesukaran untuk mengubah sistem mereka dengan segera.


“Kaedah lain akan diumumkan kemudian untuk syarikat-syarikat telekomunikasi agar pihak Kerajaan tidak kerugian dalam usaha untuk memastikan pelanggan mendapat nilai penuh untuk bayaran yang dibuat,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.


Guan Eng berkata, semua syarikat telekomunikasi perlu mengambil tindakan yang sewajarnya dengan segera dalam mematuhi penetapan pengecualian cukai perkhidmatan ini.


[ARTIKEL BERKAITAN: SST: Isu ‘top up’ dalam perhatian: Gobind]


[ARTIKEL BERKAITAN: Netizen bengang ‘top up’ kena SST ]


Pada 1 September lalu, Menteri Komunikasi dan Multimedia, Gobind Singh Deo berkata pihaknya akan mengeluarkan kenyataan rasmi berhubung ungutan rakyat berkaitan Cukai Jualan dan Perkhidmatan (SST) yang dikenakan ke atas tambah nilai prabayar dalam masa terdekat melalui perkongsian di twitternya.


Source: SH Nasional

[featured-video-plus]