KBS kaji semula Parlimen Belia

in Nasional by


KUALA LUMPUR – Kementerian Belia dan Sukan (KBS) sedang mengkaji semula  program Parlimen Belia dalam usaha memantapkan lagi institusi tersebut, kata timbalan menterinya Steven Sim Chee Keong.


Katanya, kajian itu juga bagi memastikan suara golongan belia yang diutarakan menerusi program itu didengari semua pihak termasuk kerajaan memandangkan belia merupakan generasi yang akan mewarisi kepimpinan negara pada masa akan datang.


“Kajian ini akan dilihat dalam dua aspek yang mana kita mahu Parlimen Belia diwakili oleh  perwakilan  yang sebenar iaitu pemimpin atau Anggota Parlimen belia yang dipilih mestilah betul-betul mewakili suara anak muda tanpa mengira latar belakang politik.


“Kita juga mahu Parlimen Belia mempunyai kuasa yang sebenar-benarnya, bukan hanya dijadikan satu platform untuk mereka (belia) berbincang sesama sendiri dan akhirnya pandangan mereka tidak didengari dan tidak mendapat perhatian,” katanya ketika menggulung perbahasan usul menjunjung kasih titah Yang di-Pertuan Agong bagi kementeriannya pada persidangan Dewan Negara, hari ini.


Parlimen Belia Malaysia yang bersidang buat kali pertama pada 10 Jan 2015 melibatkan 133 perwakilan ditubuhkan bertujuan melahirkan barisan pelapis kepimpinan muda berkaliber dan berwibawa sejajar keperluan negara masa kini dan akan datang. – Bernama


Source: SH Nasional

[featured-video-plus]