Kelantan sudah sebat 13 individu

in Nasional by


KOTA BHARU – Kelantan sudah pun mengenakan hukuman sebatan secara terbuka terhadap 13 individu yang menyalahi undang-undang di bawah Enakmen Kanun Jenayah Syariah 1985 sejak diperkenalkan di negeri ini.


Ketua Hakim Syarie Kelantan, Datuk Daud Muhammad berkata, jumlah itu merangkumi lelaki dan wanita berusia antara 20 hingga 55 tahun membabitkan 10 kes termasuk kesalahan mukadimah zina dan minum minuman yang memabukkan seperti arak.


Menurutnya, enakmen ini diamalkan bermula tahun 1985 dan sejak itu hukuman sebatan secara terbuka sudah dikuatkuasakan terhadap pesalah yang melakukan kesalahan syariah di negeri ini.


Sebatan ini pula dijalankan di dalam penjara dengan disaksikan lebih 10 orang termasuk pegawai penguat kuasa dan orang ramai.


“Sebatan juga boleh dilakukan di dalam mahkamah terbuka, tertakluk kepada hakim yang memiliki bidang kuasa untuk menentukan di mana-mana tempat perlaksanaannya. Cuma kalau dibuat di padang terbuka, perlu diambil kira soal keselamatan kerana lebih ramai orang akan melihatnya,” katanya kepada Sinar Harian.


Sementara itu, beliau berkata, bagi kesalahan lesbian atau perempuan yang sengaja melakukan musahakah dengan perempuan yang lain adalah bersalah dan boleh dikenakan hukuman denda tidak melebihi RM500 atau penjara selama tempoh tidak melebihi empat bulan atau kedua-duanya.


“Bagi kes lesbian, tidak ada hukuman sebat diperuntukkan mengikut enakmen ini namun mereka masih boleh dikenakan hukuman penjara dan denda.


” Kes sebegini kebiasaannya sukar untuk dibuktikan kerana banyak dilakukan secara sulit di dalam rumah dan sebagainya.


“Berbeza dengan kes yang berlaku di Terengganu, mereka ditangkap di dalam kereta di tempat awam. Bagi kes sebegini, sekurang-kurangnya memerlukan dua saksi lelaki melihat mereka melakukan perbuatan terkutuk itu bagi membuktikan kesalahan yang dilakukan,” katanya.


Source: SH Nasional

[featured-video-plus]