Lapangan terbang Kansai masih ditutup

in Global by


OSAKA- JEPUN. Sehari selepas taufan Jebi menyebabkan sekurang-kurangnya 11 maut dan mencederakan lebih 400 orang di barat Jepun, kira-kira 3,000 penumpang yang terkandas di Lapangan Terbang Antarabangsa Kansai dipindahkan menggunakan bot atau pengangkutan lain hari ini.


Dari 5,000 orang yang bermalam di lapangan terbang termasuk 2,000 kakitangan, sesetengahnya dipindahkan menggunakan bot laju ke lapangan terbang berhampiran di Kobe, sementara yang lain dipindahkan menaiki bas ke tanah besar.


Ketika Jebi semakin lemah selepas membadai seluruh barat Jepun semalam, perkhidmatan Lapangan Terbang Antarabangsa Kansai, ketiga paling sibuk di Jepun, masih ditutup untuk hari kedua.


[ARTIKEL BERKAITAN: Angka korban Taufan Jebi meningkat]


[ARTIKEL BERKAITAN: Taufan Jebi ragut 6 nyawa]


[ARTIKEL BERKAITAN: Jepun berdepan ‘Taufan Jebi’ paling kuat]


Di lapangan terbang yang digunakan 80,000 penumpang sehari, sebuah landasan dan bangunan terminal dinaiki air, sementara jambatan yang menyediakan satu-satunya akses kereta api ke lapangan terbang berkenaan dari tanah besar, rosak teruk akibat dirempuh kapal tangki yang dibadai angin kencang dan gelombang besar.


Salah seorang mangsa yang terkandas, Miki Yamada, 25, yang bercadang ke Thailand bersama seorang rakan berkata, dia terpaksa bermalam di kafe lapangan terbang.


Lebih 200 penerbangan dibatalkan hari ini, dan angka itu dijangka meningkat ketika sumber lapangan terbang berkata, ia mungkin ditutup esok, walaupun kerajaan menubuhkan pasukan khas bagi memastikannya dapat kembali beroperasi segera.-Reuters/AFP/Agensi


Source: SH Global

[featured-video-plus]