Matta jangka 5,000 tunai umrah pada awal musim

in Nasional by


KUALA LUMPUR – Dijangka 5,000 jemaah dari Malaysia bakal mengerjakan ibadah umrah pada peringkat permulaan berikutan pembukaan musim itu yang lebih awal oleh kerajaan Arab Saudi.


Timbalan Presiden Persatuan Ejen Pelancongan dan Pengembaraan Malaysia (Matta), Mohd Akil Mohd Yusof berkata, ini berikutan jemaah umrah mempunyai pilihan satu bulan lebih awal iaitu September berbanding Oktober, untuk ke tanah suci tersebut.  


“Saya percaya orang ramai akan mengambil peluang ini untuk mengerjakan umrah tanpa terikat dengan musim sejuk atau cuti sekolah,” katanya kepada Bernama.


Beliau ditemui pada majlis pelancaran The Matta Islamic Halal Tour B2B for Far East Asia and Middle East 2018 di sini hari ini.  


Hadir sama dan merasmikan majlis Timbalan Ketua Setiausaha (Pelancongan) Datuk Haslina Abdul Hamid.


Dua hari lepas, Kementerian Haji dan Umrah Arab Saudi mengumumkan akan membuka musim umrah bagi tahun ini sebulan lebih awal, berikutan sasaran kerajaan itu untuk mencapai 30 juta jemaah umrah menjelang 2030.


Mohd Akil berkata, jemaah umrah juga berpeluang menikmati hingga 10 peratus penjimatan dengan pakej yang ditawarkan bermula serendah RM4,990 seperti ditetapkan Majlis Kawal Selia Umrah (MKSU) apabila mengerjakan umrah pada bulan tersebut.


“Ini kerana orang masih tidak ramai, tiket penerbangan dan hotel juga murah kerana musim haji baru berlalu,” katanya.


Dalam pada itu, beliau berkata pihak pengendali pakej umrah masih belum menerima maklumat lanjut mengenai visa.  


“Kita jangka akan mendapat maklumat sepenuhnya daripada kerajaan Malaysia dan Arab Saudi berkenaan visa pada minggu depan dan visa umrah yang dikeluarkan akan meningkat,” katanya. – Bernama


Source: SH Nasional

[featured-video-plus]