Mufti Selangor anggap LBGT penyakit mental

in Nasional by


SHAH ALAM – Lesbian, gay, biseksual dan transgender (LGBT) dianggap sebagai satu penyakit mental dan amat membimbangkan kerana melawan fitrah kehidupan manusia.


Mufti Selangor, Datuk Mohd Tamyes Abd Wahid berkata, fitrah kehidupan manusia yang normal ialah hidup berpasang-pasangan, iaitu lelaki dengan perempuan seperti diciptakan ALLAH SWT.


Menurutnya, perlakuan LGBT jelas haram dan bertentangan dengan ajaran Islam berdasarkan al-Quran serta hadis Nabi Muhammad SAW.


“Melihatkan impak negatif gejala ini dalam masyarakat, Jawatankuasa Fatwa Selangor sudah mengambil inisiatif proaktif dengan memutuskan beberapa panduan hukum jelas bagi merungkai persoalan berkaitan isu LGBT.


“Antaranya, Mesyuarat Jawatankuasa Fatwa Selangor yang bersidang pada 15 Jun 1993 memutuskan bahawa perkahwinan mak nyah selepas jantina ditukar kepada perempuan, dengan lelaki dikira haram kerana bertentangan syariat Islam dan bidaah,” katanya dalam satu kenyataan, di sini, semalam.


[ARTIKEL BERKAITAN: Tuntutan kebebasan LGBT sesuai untuk haiwan]


Beliau berkata, mak nyah pada hakikatnya adalah lelaki dan antara syarat sah perkahwinan mestilah keadaan isteri terbabit perempuan secara yakin.


Selain itu, katanya, mesyuarat berkenaan memutuskan bahawa penukaran jantina mak nyah kepada perempuan melalui pembedahan adalah jelas bertentangan dengan lslam kerana ALLAH melarang hamba-Nya mengubah kejadian-Nya.


Mohd Tamyes berkata, Mesyuarat Jawatankuasa Fatwa Selangor pada 18 Mac 2009 pula memutuskan bahawa pengkid, iaitu wanita berpenampilan dan memiliki gerak laku serta naluri seksual seperti lelaki, adalah haram di sisi lslam.


“Berdasarkan keterangan ini, Jabatan Mufti mengambil daya usaha awal menetapkan hukum jelas bagi mendidik dan memandu masyarakat lslam mengenai gejala itu.


“Kami berharap masyarakat lebih peka dan perlu penuh keimanan dalam memahami serta melaksanakan hukum diputuskan oleh ulama berautoriti di negara ini,” katanya.


Mengulas lanjut, beliau berkata, bersandarkan kebajikan dan kasih sayang dalam lslam supaya golongan berkenaan tidak terpinggir dan berasa seolah-olah didiskriminasi, Mesyuarat Jawatankuasa Fatwa Selangor pada 14 Mei 2012 memutuskan Fatwa Jenis Penerima Asnaf Al-Riqab Selangor serta yang berkaitan dengannya.


Katanya, antara senarai penerima agihan asnaf Al Riqab yang layak menerima bantuan zakat Al Riqab ialah golongan terbelenggu gaya hidup songsang, termasuk pelacur, lesbian, mak nyah, gay, homoseksual, gigolo, biseksual, pengkid, tomboi dan bersekedudukan dengan orang bukan lslam.


Source: SH Nasional

[featured-video-plus]