Pas minta UIAM pertimbang semula lantikan Maszlee

in Nasional by


SHAH ALAM- Pihak Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM) sewajarnya mempertimbangkan semula pelantikan Menteri Pendidikan Dr Maszlee Malik sebagai Presiden UIAM yang baru.


Ketua Penerangan Pas, Nasrudin Hassan berkata, sewajarnya jawatan tersebut diberikan kepada ahli akademik yang berkredibiliti dan berpengalaman berbanding seorang ahli politik.


“Permintaan ini juga selaras dengan aspirasi menteri sendiri yang mahukan universiti bebas daripada mereka yang mempunyai kepentingan politik kepartian,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.


[ARTIKEL BERKAITAN: ‘Ini yang buat kami terkejut’]


Sebelum ini, kata Nasrudin, Maszlee yang juga merupakan ahli parti politik Bersatu turut mendesak semua penjawat awam lantikan politik dan mempunyai kecenderungan politik BN di universiti meletakkan jawatan.


Jelasnya lagi, berasaskan aspirasi tersebut, beliau sewajarnya memberi laluan kepada individu lain yang lebih sesuai untuk menggalas jawatan tersebut.


Tambahan pula katanya, seorang ahli akademik yang lebih layak perlu dilantik untuk memacu hala tuju universiti ke arah memartabatkan nilai ilmu di samping mengukuhkan autonomi dan kebebasan akademik.


Dalam pada itu, katanya Pas juga turut memberi perhatian terhadap isu pelantikan Setiausaha Politik Menteri Pendidikan yang dilantik sebagai Ahli Lembaga Pengarah Universiti Utara Malaysia.


“Sebelum ini, Penasihat Khas Menteri Pendidikan telah dilantik menjadi Pengerusi Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Negara,” katanya.




 


 


Source: SH Nasional

[featured-video-plus]