Penduduk lega kehadiran Perhilitan

in Edisi Utara by


BALING –  Kehadiran anggota Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan) di Kampung Becah Sawa bagi mengawasi ancaman gajah melegakan penduduk.


Penduduk, Hassan Jusoh, 82, berkata, dia mendapat tahu anggota Perhilitan mula menjalankan tugas pada Isnin lalu.


“Perasaan takut kami hilang la sedikit bila dapat tau anggota Perhilitan datang berkawal di kampung ini.


“Kalau tak, siang dan malam kami di sini takut. Kita tak tahu bila masa gajah akan naik minyak. Rumah pun haiwan itu boleh tolak,” katanya kepada Sinar Harian, semalam.


Bagaimanapun katanya, penduduk yang menoreh getah masih lagi bimbang untuk keluar awal pagi.


“Orang kampung yang menoreh getah di kawasan berhampiran masih lagi rasa tak selamat nak ke kebun. Takut tersempak dengan haiwan itu.


“Jika sebelum ini boleh menoreh 200 pokok getah, sekarang ini kurang kepada 100 pokok,” katanya.


Tambahnya, ketiadaan kesan pagar kebun diceroboh memberi gambaran ia berkemungkinan gajah dewasa.


“Keadaan pagar elok seperti biasa, mungkin gajah itu melangkah. Cuba bayangkan besar mana haiwan itu,” katanya.


Sementara itu, Adun Bayu, Abd Nasir Idris memuji tindakan pantas Perhilitan melakukan operasi.


“Saya sebagai Adun mengucapkan terima kasih kepada Jabatan Perhilitan yang datang melakukan operasi di kawasan gajah keluar.


“Kita lihat usaha dilakukan ini bersungguh-sungguh demi menjaga keselamatan penduduk,” katanya.


Abd Nasir berkata, pihaknya menyediakan penginapan kepada anggota bertugas.


“Kita sediakan markas Pas Kampung Becah Sawa sebagai bilik operasi,” katanya.


Dalam pada itu, Pegawai Perhilitan Daerah Sik, Azmi Mat Nawi berkata, operasi itu melibatkan sembilan anggota.


“Tiga daripadanya dari Unit Tangkapan Gajah (UTG) Perak dan selebihnya UTG Kedah. Kami bergabung bagi operasi ini.


“Operasi bermula Isnin lalu dan akan memakan masa selama lima hari. Operasi akan bersambung jika ada keperluan,” katanya.


Beliau berkata, operasi pertama yang berakhir jam 6 pagi semalam menemui beberapa kesan tapak kaki dan tolakan pada pokok getah.


“Nasihat kepada penduduk, maklumkan kepada kami jika menemui haiwan tersebut bagi memudahkan tangkapan.


“Jangan lakukan provokasi seperti membaling mercun kerana ia bakal membuatkan gajah lari ke dalam hutan. Tindakan itu akan sukarkan tangkapan,” katanya.


Sinar Harian pada 3 September lalu melaporkan kira-kira 30 pokok pisang penduduk dimusnahkan gajah.        


Source: SH Edisi Utara

[featured-video-plus]