Perjuang peranan wanita di semua peringkat

in Politik by


SHAH ALAM – Calon Ahli Majlis Pimpinan Pusat (MPP) Wanita PKR, Sandrea Ng akan terus memperjuangkan penglibatan wanita dalam pentadbiran di semua peringkat.


Adun Teja ini berkata pasukannya mahu menjadikan wanita ke depan bukan lagi dilihat sebagai watak sampingan.


“Saya nampak lebih keperluan angkat agenda wanita sebab selama ini banyak diperjuangkan bukan sahaja PKR, NGO tapi kita lihat penyertaan wanita masih belum mencapai sasaran dan di Dun Perak sendiri masih jauh daripada sasaran 30 peratus.


“Kalau saya dan pasukan diberikan peluang, salah satu misi kami nak mantapkan latihan dan kepimpinan supaya ahli lebih yakin untuk memimpin di semua lapisan. Selama ini sayap wanita dilihat sebagai sampingan dalam organisasi dan masyarakat,” katanya ketika slot Sinar Live: Ke Mana PKR Selepas 20 Tahun.


Menyentuh soal pemilihan pertama selepas PKR di tampuk pemerintahan, Sandrea berkata pemilihan kali ini begitu mencabar kerana menguji kematangan ahli dan sistem demokrasi negara ini.


Beliau menasihatkan pimpinan dan ahli agar menjaga disiplin serta semangat setia kawan dalam parti bagi mengelakkan perpecahan.


“Bertandinglah dan biar ahli buat penilaian tapi janganlah kita rosakkan nama parti. Ini sepatutnya satu persaingan yang sihat untuk kita lebih kompetitif.


“Saya seru semua anggota dan calon pemimpin jaga disiplin dan semangat setia kawan dalam parti,” katanya.


Sandrea yang juga Naib Ketua AMK Perak berkata, PKR perlu memainkan peranan penting dalam memupuk perpaduan pelbagai kaum di negara ini.


“Dalam suasana Malaysia baharu ini, banyak pihak cuba memainkan sentimen perkauman jadi pentingnya PKR memainkan satu peranan sebagai parti pelbagai kaum.


“Kita boleh memupuk perpaduan dan persefahaman dalam kalangan rakyat supaya isu perkauman dan agama tidak lagi menjadi isu yang boleh dimanipulasi oleh pihak-pihak tertentu,” katanya.


Source: SH Politik

[featured-video-plus]