PH buka 10 kaunter semakan pengundi di Balakong

in Politik by


KUALA LUMPUR – PH membuka 10 kaunter semakan di pelbagai lokasi di sekitar Dun Balakong bagi membolehkan pengundi menyemak pusat pengundian mereka, menjelang PRK Dun itu Sabtu ini.


Calon PH, Wong Siew Ki berkata kesemua kaunter semakan pusat pengundian yang dikendali sukarelawan parti itu akan beroperasi mulai hari ini hingga Jumaat.


Beliau berkata langkah itu dilaksana berikutan ramai pengundi yang masih tidak tahu pusat pengundian mana yang harus dituju.


“Sepanjang tempoh berkempen ini, saya mula sedar hampir 50 peratus pengundi yang ditemui tidak tahu di masa pusat pengundian mereka. Kebanyakannya keliru dan tertanya-tanya sama ada mereka akan mengundi di pusat sama seperti ketika pilihan raya umum lepas.


[ARTIKEL BERKAITAN:Proses undi awal PRK Balakong lancar]


“Jadi saya harap dengan inisiatif ini, kadar undi pada PRK kali ini akan meningkat,” katanya yang ditemui ketika sedang berkempen di Bandar Damai Perdana dekat sini, pagi ini.


Kesemua kaunter semakan itu terletak di Batu 11, Cheras, Taman Megah, Bilik Operasi dan Pusat Perkhidmatan DAP di Dataran Perniagaan Cheras, Desa Baiduri, Bandar Tun Hussein Onn, Simpang Balak, Tanming Jaya, Cheras Jaya dan Taman Budiman.


Seramai 62,219 pengundi layak mengundi pada PRK Balakong Sabtu ini yang menyaksikan pertembungan satu lawan satu antara Wong dan Tan Che Teong daripada MCA. – Bernama


Source: SH Politik

[featured-video-plus]