Saya tak dapat jemputan debat: Halimey

in Politik by


PETALING JAYA- Program debat untuk menemukan dua calon parti yang bertanding dalam Pilihan Raya Kecil (PRK) Dun Seri Setia sekali lagi menimbulkan kekeliruan berikutan perbezaan penjelasan daripada kedua-dua pihak.


Ia adalah berkenaan penularan poster program Debat Terbuka anjuran sebuah badan bukan kerajaan di media sosial hari ini, yang kononnya menemukan calon Pakatan Harapan (PH), Halimey Abu Bakar dan calon PAS, Dr Halimah Ali.


Ketika ditanya mengenai perkara itu, Halimey memaklumkan tidak menerima sebarang jemputan untuk menghadiri program tersebut yang dikatakan bakal diadakan di kawasan Desa Mentari pada pukul 9 malam ini.


“Saya tidak menerima maklumat dan jemputan rasmi tetapi cuma mengetahuinya melalui media sosial,” katanya dalam sidang media di sini hari ini.


Halimey dan Dr Halimah berdepan pertandingan satu lawan satu pada PRK tersebut yang diadakan susulan kematian penyandang kerusi Dun itu, Prof Dr Shaharuddin Badaruddin pada 2 Ogos lepas akibat kanser usus.


Menurut Halimey, program seperti itu tidak perlu diadakan dan sekarang adalah masa untuk memberi sepenuh tumpuan kepada hari pengundian Sabtu ini.


“Tinggal berapa hari sahaja lagi sebelum tempoh kempen tamat, saya hanya hendak fokus terhadap kawasan sahaja. Apa lagi yang nak didebatkan,” kata bekas anggota Majlis Bandaraya Petaling Jaya itu.


Dr Halimah bagaimanapun mengesahkan pihaknya ada menerima jemputan daripada pihak penganjur sendiri, pagi tadi.


Tegas bekas anggota Exco Kerajaan Negeri Selangor itu, program sedemikian tidak menjadi masalah bagi dirinya kerana beliau sentiasa bersedia.


“Saya akan buat apa yang perlu saya buat. Saya juga akan buat perkara yang baik untuk rakyat,” katanya ketika ditemui pemberita selepas mengadakan tinjauan mesra di hadapan Sekolah Kebangsaan Kampung Lindungan di sini, hari ini.


Sebelum ini, isu sama timbul apabila satu program bual bicara, Agenda Awani yang dikatakan akan menemukan kedua-dua calon tersebut pada 29 Ogos lepas, turut tular di media sosial.


Penganjurnya, Astro Awani kemudian memaklumkan bahawa program bual bicara berkenaan diteruskan dengan kehadiran Dr Halimah sahaja pada hari tersebut dan Halimey pula dijemput ke program sama pada tarikh berasingan.- Bernama

 


Source: SH Politik

[featured-video-plus]