Selangor gagal semak dan imbang?

in Edisi by


BALAKONG – Calon MCA, Tan Chee Teong mendakwa perbelanjaan 60 peratus peruntukan pembangunan ditentukan Menteri Besar (MB) Selangor.


Beliau mempersoalkan bagaimanakah PH akan semak dan imbang sendiri urus tadbir kerajaan negeri.


Chee Teong menyatakan sejak 2012,  hampir separuh daripada peruntukan pembangunan disalur kepada Pejabat MB dan Setiausaha Kerajaan Negeri.


Manakala, pada  tahun 2016 jumlah ini telah dinaikkan sehingga mencecah 60.7 peratus keseluruhan dana pembangunan.


“Bagaimana PH akan semak dan imbang sendiri pentadbiran kerajaan negeri?


“60 peratus peruntukan pembangunan ditentukan oleh MB dan hampir separuh peruntukan pembangunan disalur kepada Pejabat MB serta Setiausaha Kerajaan Negeri,” katanya.


Chee Teong berkata, Rancangan Malaysia Ke-11 (RMK-11) dari tahun 2016 hingga 2020, sebanyak RM4.06 bilion, atau 58 peratus daripada jumlah peruntukan pembangunan RM7 bilion, telah disalur kepada Pejabat MB dan Pejabat Setiausaha Kerajaan Negeri.


“Bagaimanakah exco-exco negeri mampu menjalankan tugas masing-masing jika 60 peratus peruntukan negeri dikendalikan MB?


“Sekiranya beliau menyalahgunakan kuasanya adakah Adun-Adun berani membantah?,” soalnya.


Katanya, Laporan Audit 2017 menunjukkan  bahawa dari tahun 2014 hingga 2016, Perbadanan Menteri Besar (MBI) di bawah MB Selangor telah memberi geran sebanyak RM28 juta kepada Communication Corporation Sdn Bhd, iaitu syarikat yang mengendalikan Media Selangor dan Selangor Kini.


“Laporan Audit juga menyatakan, pelantikan pembekal perkhidmatan tidak mematuhi SOP, dan tiada kontrak rasmi disediakan dan kajian dan pengumpulan maklum balas rakyat oleh sebuah syarikat bebas tidak menurut peraturan.


“Daripada itu kita dapat melihat bahawa walaupun kerajaan negeri Selangor telah menetapkan mekanisme semak dan imbang, tetapi mereka sendiri tidak mematuhinya.


“Adakah Adun-adun PH Selangor tidak mampu bersuara?   Adakah pegawai-pegawai kerajaan negeri tidak sedar akan masalah ini? Punca masalah ini disebabkan kerajaan yang terlalu kuat, kuasa MB dan kekurangan kuasa pembangkang untuk melakukan semak dan imbang,” katanya.


Dakwa beliau, berdasarkan contoh yang ditunjukkan kerajaan Selangor, ia dibuktikan bahawa ‘semak dan imbang dalaman’  hanya janji kosong dan tidak mampu dilaksanakan.


“Demi masa depan Selangor, saya menyeru para pengundi untuk menyokong sistem dua parti yang sihat, untuk memastikan semak dan imbang terhadap kerajaan, dan tadbir urus yang baik,” tegasnya.


Source: SH Edisi

[featured-video-plus]