Syarikat Asean perlu 184 hari kesan pelanggaran siber

in Nasional by


KUALA LUMPUR – Syarikat-syarikat Asean memerlukan purata 184 hari sebelum mengesan pelanggaran dalam sistem pengkomputeran mereka, tempoh yang lebih lama daripada standard global, iaitu purata 99 hari.


Naib Presiden Trend Micro Asia Pacific, Timur Tengah dan Afrika, Dhanya Thakkar berkata, disebabkan kompromi dan pengesanan yang lambat ini, syarikat di rantau ini telah kerugian purata lebih daripada AS$4 juta dalam tempoh berkenaan.


“Kita perlu berusaha memperbaiki keadaan ini. Pada masa ini, ancaman terbesar di dunia siber adalah kompromi e-mel perniagaan dan pelanggaran data disebabkan kelemahan dalam sistem, seperti perisian hasad makro,” katanya pada sidang media mengenai trend keselamatan di sini, hari ini.      


Thakkar berkata, perisian hasad makro mengambil kesempatan daripada bahasa pengaturcaraan Microsoft Office untuk menyebarkan virus, dan biasanya melepasi ciri keselamatan asas.


Ia kini merupakan cara baru yang digunakan penggodam untuk memasuki sistem syarikat atau organisasi.


Menurut statistik, Malaysia menyaksikan 579 serangan siber pada separuh pertama 2018, menyumbang 11.2 peratus serangan di rantau Asia Tenggara.


Beliau juga berkata, terdapat kemungkinan besar sistem pengkomputeran telah dikompromi dan digunakan untuk melombong mata wang kripto, yang menyebabkan prestasi komputer menjadi perlahan.


“Bukan sahaja prestasi komputer lembap, seluruh rangkaian data dilanggar yang boleh menyebabkan data dicuri,” katanya.


Selain daripada kompromi e-mel, Thakkar juga berkata, Pencari Sumber Seragam (URL) yang berniat jahat terus menjejaskan pengguna di Malaysia.


“Antara negara di Asia Tenggara, Malaysia menjana lima juta klik pada URL berniat jahat, menduduki tempat ketiga di rantau ini,” katanya.


Sementara itu, Thakkar juga berkata, Malaysia masih belum bersedia untuk revolusi industri 4.0 (IR4.0), terutama dari segi keselamatan siber.


“Malaysia membelanjakan 0.08 peratus daripada keluaran dalam negara kasar untuk tujuan keselamatan siber. Ini masih tidak mencukupi berbanding negara lain yang telah melaksanakan IR4.0 kerana revolusi tersebut lebih bergantung kepada teknologi dan automasi,” tambahnya. – Bernama

 


Source: SH Nasional

[featured-video-plus]