'Tak sempat lepas gian'

in Edisi Utara by


SUNGAI PETANI – Hasrat sembilan penagih untuk melepaskan gian dalam sebuah ladang kelapa sawit di Semeling tidak kesampaian apabila dicekup dalam serbuan Agensi Anti Dadah Kebangsaan (AADK), pagi tadi.


Operasi bermula sekitar 8.30 pagi dan berakhir jam 11 pagi itu disertai tujuh anggota AADK pelbagai unit.


Pegawai AADK Daerah Kuala Muda, Shamshuri Yusoff berkata, kesemua individu ditahan berusia antara 23  hingga 45 tahun.


Menurutnya, lokasi serbuan juga dipercayai ‘port’ penagih dadah melepaskan gian.


“Port ini pernah diserbu beberapa kali sebelum ini namun masih beroperasi dan menjadi tumpuan pelbagai lapisan umur yang datang dari pelbagai tempat.


“Serbuan juga dipercayai disedari tokan dadah yang kemudian melarikan diri ke kawasan jalan besar melalui lorong tikus,” katanya.


Beliau berkata, kesemua individu yang ditahan dibawa ke Pejabat AADK Daerah Kuala Muda untuk tindakan lanjut.


Menurutnya, hasil saringan air kencing dijalankan mendapati kesemua yang ditahan positif dadah jenis opiat.


Kes disiasat mengikut Seksyen 3(1) Akta Penagih Dadah (Rawatan & Pemulihan) 1983.


Shamshuri berkata, enam penagih akan direman di Lokap AADK Daerah Kuala Muda sebelum dibicarakan, manakala tiga yang lain diberi jamin.

 


Source: SH Edisi Utara

[featured-video-plus]