Bagaimana Jepun tangani bencana alam?

in Global by


TAUFAN paling kuat yang membadai Jepun dalam tempoh 25 tahun telah meninggalkan kemusanahan besar di seluruh negara.


Ia menghentikan operasi lapangan terbang utama selain merosakkan ratusan kenderaan dan rumah.


Meskipun dibadai Taufan Jebi yang membawa angin kencang sehingga 160 kilometer sejam, namun angka korban yang dicatatkan hanya 11 kematian dan 600 lagi cedera.


Dibina untuk daya tahan


Jepun terletak di jajaran Pasifik dan Lingkaran Api sismik, di mana ia menerima lebih banyak peristiwa alam semula jadi yang melampau.


Sama ada oleh gempa bumi, tsunami, taufan atau letusan gunung berapi, seluruh bandar utama Jepun yang telah musnah dibina semula pada abad ke-20 sahaja.


Keadaan itu memberi peluang kepada Jepun merancang dan mempersiapkan diri untuk masa depan. Sejumlah besar wang turut dibelanjakan bagi membina infrastruktur yang mampu menghadapi segala bencana alam.


“Jepun adalah pemimpin dunia dalam kesediaan dan tindak balas kecemasan bagi memastikan infrastruktur serta asetnya berdaya tahan selepas dibina,” jelas pakar pengurusan bencana Bank Dunia, Marc Forni.


Jalan raya dan bangunan awam di bandar pesisir seperti Osaka direka untuk membolehkan air berlebihan dan hujan mengalir dengan lebih cekap, serta pertahanan pantai yang maju dapat mengurangkan risiko gelombang ribut.

Ratusan kenderaan rosak akibat ditiup angin kencang. – Foto AFP


Kesedaran sejak usia muda


Pada 1 September 1923, gempa bumi berukuran 7.9 pada skala Richter membadai Kanto Plain, memusnahkan bandar Tokyo dan mengorbankan sekurang-kurangnya 100,000 orang.


Kemusnahan sangat teruk sehingga membuatkan kerajaan mempertimbangkan untuk memindahkan ibu negara.


Tarikh 1 September kini dipilih sebagai Hari Pencegahan Bencana Kebangsaan di semua sekolah dan pejabat awam di negara itu. Kanak-kanak dilatih bagaimana menghadapi bencana alam dan mempelajari sejarah negara yang dilanda bencana.


Langkah itu merupakan pendekatan akar umbi di kalangan semua penduduk tentang apa yang perku dilakukan sekiranya bencana berlaku.


Pengajaran kepada orang lain


Kerajaan Jepun turut menetapkan contoh kepada dunia bagaimana kementerian dan bidang kuasa berbeza bekerjasama sekiranya berlaku bencana.


Bagaimanapun, pegawai berkuasa juga melaburkan masa dan usaha dalam menyediakan perjanjian dengan sektor swasta supaya sebelum bencana melanda, syarikat swasta ini dapat menjalankan tanggungjawab mereka.


“Jepun membuktikan secara berterusan apabila bencana alam melanda, ia tidak membawa kepada kehilangan banyak nyawa atau aset ekonomi yang besar,” kata Forni. – Independent


Source: SH Global

[featured-video-plus]