KPM komited selenggara sekolah daif

in Nasional by


PUTRAJAYA – Kementerian Pendidikan (KPM) komited menyelenggara dan membaik pulih sekolah-sekolah daif dalam tempoh lima tahun.


KPM dalam kenyataan hari ini berkata komitmen itu akan dizahirkan oleh Menterinya Dr Maszlee Malik dalam lawatan kerja selama dua hari ke Sarawak bermula hari ini.


“Lawatan ini bertujuan melihat keadaan beberapa buah sekolah di kawasan Samarahan dan Simunjan.


“Antara yang dilawati ialah Sekolah Kebangsaan (SK) Terasi, SK Abang Man dan Sekolah Menengah Kebangsaan Sri Sadong,” katanya.


Menurut KPM, lawatan itu akan turut disertai Ketua Setiausaha KPM Datuk Dr Gazali Abas, Timbalan Ketua Pengarah Pelajaran Datuk Sulaiman Wak dan Timbalan Pengarah Jabatan Pendidikan Negeri Sarawak Abang Mat Ali.


KPM berkata Maszlee juga akan membuat kunjungan hormat ke atas Ketua Menteri Sarawak Datuk Patinggi Abang Johari Tun Openg esok.


Beliau akan turut mengadakan sesi pertemuan dengan kakitangan Jabatan Pendidikan Negeri Sarawak dan sesi ramah mesra dengan wakil pentadbiran institusi pengajian tinggi Sarawak. – Bernama


Source: SH Nasional

[featured-video-plus]