LCCT di Pulau Pinang: Belum ada kata putus

in Nasional by


GEORGETOWN – Kementerian Pengangkutan belum membuat sebarang keputusan berhubung pembinaan sebuah terminal tambang rendah (LCCT) di Lapangan Terbang Antarabangsa Pulau Pinang (LTAPP).


Menterinya, Anthony Loke Siew Fook berkata, pihaknya belum memutuskan sama ada akan membina bangunan baharu yang berasingan atau di terminal yang sama.


“Berkenaan LCCT, kita masih di peringkat perbincangan. Apa jenis pendekatan, model dan sebagainya, masih belum diputuskan. Namun apabila ia diputuskan, kita akan umumkan.


“Apa yang pasti, LTAPP akan diperbesarkan kerana sudah melebihi kapasitinya. Malah, ia antara yang berada di senarai teratas untuk lapangan terbang yang perlu diperbesarkan.


“Bagaimanapun, belum diketahui sama ada pembinaan LCCT itu termasuk dalam projek pembesaran LTAPP atau sebaliknya. Kementerian sedang dalam proses menyemak semua kertas cadangan dan proses ini dilaksanakan dengan kadar segera,” katanya kepada media tadi.


Ditanya sama Kementerian Pengangkutan telah memberi kelulusan kepada syarikat penerbangan tambang murah AirAsia untuk pembinaan LCCT di Pulau Pinang, Anthony berkata, tiada sebarang kelulusan diberikan setakat ini.


Terdahulu, Menteri Kewangan, Lim Guan Eng mengumumkan Pulau Pinang bakal menerima sebuah LCCT di LTAPP berikutan lapangan terbang itu telah melangkaui kapasiti maksimumnya tahun lalu.


Guan Eng berkata, ia juga susulan hasil perbincangan yang positif di antara Malaysia Airports Holdings Berhad (MAHB) dan AirAsia.


Sebelum itu, Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan AirAsia, Tan Sri Tony Fernandes dilaporkan menyuarakan hasrat untuk membina LCCT tersebut semasa melakukan kunjungan hormat ke atas Ketua Menteri, Chow Kon Yeow.


 


 


Source: SH Nasional

[featured-video-plus]