Penduduk lari tinggalkan Idlib

in Global by


DAMSYIK – SYRIA. Ratusan penduduk meninggalkan wilayah Idlib ketika Iran, Turki dan Rusia bersedia mengadakan rundingan sebelum menggempur benteng terakhir puak pemberontak.


Difahamkan, tentera kerajaan dan sekutunya telah menembusi wilayah itu dan kumpulan bantuan bimbang ia bakal menjadi pertempuran terakhir sekali gus menamatkan perang saudara Syria yang telah berlanjutan selama tujuh tahun.


Kuasa Barat sebelum ini menentang sebarang pertumpahan darah, namun Damsyik dan Rusia bertegas tindakan keras perlu diambil bagi menghapuskan kumpulan militan yang menguasai wilayah tersebut.


Menurut Pemerhati Hak Asasi Syria (SOHR) tentera kerajaan disokong Rusia telah membedil beberapa lokasi pemberontak di Idlib sejak beberapa hari lalu.


Serangan itu katanya mencetuskan kebimbangan dalam kalangan penduduk sehingga memaksa mereka melarikan diri.


“Kira-kira 180 keluarga atau 1,000 orang telah melarikan diri menuju ke timur,” kata pengarah SOHR, Rami Abdel Rahman.


Katanya, kebanyakan penduduk yang melarikan diri adalah mereka yang tinggal di kawasan dikuasai kerajaan dan terdedah kepada serangan besar-besaran. – Agensi


Source: SH Global

[featured-video-plus]