Perjawatan tambahan diisi orang luar perlu dikaji semula

in Nasional by


KUALA LUMPUR – Menteri Belia dan Sukan Syed Saddiq Syed Abdul Rahman berkata peruntukan yang diberikan kepada Program Podium sebelum ini tidak mencapai objektif utama program kerana dana itu juga digunakan untuk membiayai perjawatan tambahan program itu.


Syed Saddiq berkata selepas meneliti laporan kewangan Kementerian Belia dan Sukan (KBS), beliau mendapati daripada RM70 juta peruntukan untuk program podium, kira-kira RM50 juta dibelanjakan untuk atlet manakala selebihnya  digunakan untuk mengajikan staf yang majoritinya bukan warga tempatan.


“Saya bukan kata duit yang ada masuk poket atau dicuri, masalahnya banyak sangat perjawatan tambahan yang diwujudkan, pada saya seharusnya difokuskan kepada objektif Program Podium itu ditubuhkan,” katanya kepada pemberita selepas merasmikan Kejohanan Badminton Remaja Astro bawah 15 tahun di Stadium Juara, Bukit Kiara, di sini hari ini.


Ketika mengulas mengenai peletakan jawatan Pengarah Program Podium Tim Newenham berikutan kegagalan program itu mencapai sasaran di Sukan Asia dan Sukan Komanwel, Syed Saddiq berkata beliau tidak menuding jari kepada pakar perancangan sukan dari Australia itu.


Jelasnya beliau menghormati keputusan Newenham itu dan berterima kasih atas komitmen yang ditunjukkan selama berkhidmat bersama KBS sejak 2016.


“Saya baru dimaklumkan tentang perkembangan ini, pertama sekali walau apa pun terjadi saya perlu mengucapkan terima kasih kepada beliau kerana berkhidmat sekian lama. Pada masa yang sama seperti saya tekankan, prestasi yang dinilai bukan berdasarkan prestasi di Sukan Asia tetapi juga Sukan Komanwel, kita tidak capai sasaran program podium.


“Banyak pembaharuan dan penambahbaikkan perlu dibuat khususnya struktur organisasi, peranan yang dimainkan oleh Majlis Sukan Negara (MSN) serta Institut Sukan Negara (ISN) dan KBS. Saya sudah arahkan pihak ISN dan MSN menghubungi beliau. Kemudian lihat apa yang boleh kita lakukan di masa hadapan.  


Saya memerlukan post-mortem penuh dan tidak mahu menuding jari kepada satu orang atau beberapa pihak, sebaik sahaja tamat Sukan Asia, ramai pihak menyalahkan pemain, itu tidak betul. Saya juga perlu bertanggungjawab walaupun baharu, saya perlu bertanggungjawab, MSN, ISN dan persatuan sukan perlu bertanggungjawab, ini tanggungjawab bersama dan kita perlu mencari penyelesaian terbaik,” katanya.


Ketika diminta pandangan peribadi beliau mengenai calon sesuai mengisi jawatan Pengarah Podium itu, Syed Saddiq berkata perkara penting yang perlu diambil kira adalah kebolehan dalam mengendalikan atlet berprestasi tinggi negara.


Syed Saddiq berkata beliau sedia mempertimbangkan untuk mengambil kepakaran tempatan dalam memajukan pembangunan sukan negara.  – Bernama


Source: SH Nasional

[featured-video-plus]