Pindaan Akta 133 bolehkan kawal selia di kawasan cerun

in Nasional by


PUTRAJAYA – Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail berkata pindaan Akta Jalan, Parit Dan Bangunan 1974 (Pindaan) 2018 (Akta 133) akan membolehkan pihak berkuasa tempatan (PBT) untuk membuat  kawal selia berkala di bangunan dan premis yang terletak di kawasan bercerun.


Beliau juga menzahirkan rasa terkejut apabila akta sedia ada tidak membenarkan PBT  untuk membuat pemeriksaan di premis dan bangunan.


“Dengan pindaan akta ini, PBT boleh membuat pemeriksaan di semua harta, termasuk harta milik persendirian.


“Pindaan akta ini akan dibentangkan di sidang Dewan Rakyat pada Oktober ini untuk dibahaskan dan dijangka akan berkuat kuasa pada tahun depan,” katanya pada sidang media selepas mempengerusikan Mesyuarat Majlis Negara Bagi Kerajaan Tempatan Ke-72 (MNKT Ke-72) di sini hari ini.


Hadir sama Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Zuraida Kamaruddin.


Dengan pindaan Seksyen 70, Akta 133, Dr Wan Azizah berkata setiap pembangunan di kawasan yang melibatkan kecerunan melebihi 25 darjah dan jumlah ketinggian menegak melebihi 10 meter adalah diwajibkan untuk menyediakan laporan geoteknikal yang ditentusahkan oleh pemeriksa bertauliah yang berdaftar dengan Lembaga Jurutera Malaysia untuk memastikan struktur bangunan selamat.


Selain itu, beliau berkata kerajaan tidak akan membenarkan mana-mana projek pembinaan di kawasan yang melebihi kecerunan yang ditetapkan.


Sementara itu, Dr Wan Azizah berkata Mesyuarat MNKT untuk mengkoordinasikan dasar-dasar kerajaan tempatan antara kerajaan persekutuan dengan kerajaan-kerajaan negeri akan diadakan lebih kerap berbanding setahun sekali.


“Kita membuat keputusan agar Mesyuarat MNKT diadakan lebih kerap agar ia lebih berkesan dan memberi impak yang lebih baik,” katanya.


Sementara itu, Dr Wan Azizah berkata KPKT akan menambah baik Manual OSC 3.0 kepada Manual OSC 3 Plus melalui penyediaan dan penetapan prosedur yang jelas dan terperinci berdasarkan peruntukan undang-undang dan peraturan untuk memudahcara dan mempercepatkan proses kelulusan projek.


Di bawah senarai semak sedia ada, beliau berkata terdapat 69 perkara perlu dilengkapkan sebelum meluluskan sesuatu projek, tanpa mengira projek berskala kecil, sederhana atau besar.


Dengan adanya Manual OSC 3 Plus, beliau berkata projek berskala kecil hanya perlu melengkapkan 22 senarai semak manakala bagi projek berskala sederhana 28 dan projek skala besar 32.


“Ini akan meningkatkan keberkesanan dan mengurangkan masa untuk meluluskan sesuatu projek. Langkah ini akan membantu pemaju dan mempercepatkan pembangunan selain mengoptimumkan kos,” katanya.


MNKT hari ini juga memutuskan agar garis panduan pengurusan trak bergerak (makanan, barangan dan perkhidmatan) di PBT diwujudkan untuk merancang keperluan pengurusan perniagaan trak bergerak secara holistik.  -Bernama


Source: SH Nasional

[featured-video-plus]