RM450j: Siapa tipu siapa, Najib atau Guan Eng?

in Nasional by


PUTRAJAYA – Bekas Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak terkejut dan mempersoalkan kenyataan dibuat Menteri Kewangan berhubung wang baki Akaun Hasil Disatukan berjumlah RM450 juta pada akhir bulan April 2018.


Melalui posting di laman Facebook peribadinya, Najib berkata, setiap bulan, baki akhir untuk akaun tersebut tidak pernah lari dari RM18 bilion sehingga RM20 bilion.


Menurutnya penjawat-penjawat awam dalam proses pengurusan aliran wang (cash flow management) akan memastikan sekurang-kurangnya cukup dana sebagai penampan atau ‘buffer’ sekurang-kurangnya untuk dua bulan untuk membayar gaji dan pencen semua penjawat awam.


“Maka adalah mustahil bahawa baki Akaun Hasil Disatukan hanya RM450 juta pada akhir bulan April 2018 seperti didakwa Lim Guan Eng,” katanya.


Tambah Najib, mengikut penyata akaun kerajaan dari Akauntan Negara Malaysia bagi akhir tahun 2017 yang diterbit dan diumumkan secara awam, baki Akaun Hasil Disatukan bukan RM11.41 bilion seperti dituduh Guan Eng tetapi ialah RM18.064 bilion dalam bentuk wang tunai dan simpanan tetap (FD) jangka pendek.


Jelas bekas Menteri Kewangan itu lagi, Penyata Kewangan Kerajaan bulanan disiapkan pada 15 haribulan, dan bagi bulan April, penyata disiapkan pada 15 Mei di mana kerajaan sudah diambil alih oleh PH.


“Oleh itu, saya tidak pernah melihat penyata untuk bulan April dan ‘amat terkejut’ dengan tuduhan Guan Eng bahawa baki Akaun Hasil Disatukan pada akhir bulan April hanya RM450 juta,”ujarnya.


Selain itu Najib berkata, setiap bulan ada aliran wang masuk dari LHDN, GST dan beberapa sumber lain, maka baki RM450 juta ini juga langsung tidak masuk akal.


“Walaupun penyata akaun bulanan ini tidak didedahkan secara awam dan saya tidak boleh lagi meminta untuk merujuk kepada penyata-penyata ini, pada pengetahuan saya, baki untuk akhir bulan Mac 2018 juga disekitar RM18 bilion.


Mustahil untuk baki ini turun dari RM18 bilion kepada RM450 juta pada bulan April sahaja,” katanya.


Beliau menyelar kenyataan tersebut dan menyatakan dakwaan itu sekadar usaha menteri itu mengelak siasatan diraja dijalankan berhubung tuduhan wang RM35 billion hasil GST dirompak kerajaan BN sebelum ini.


“Adakah Menteri Kewangan juga ‘main hantam’ lagi bila membuat tuduhan yang begitu mengejutkan ini sekadar untuk mengelak daripada mengadakan siasatan RCI tentang “rompakan” RM35 billion wang GST dan LHDN seperti yang saya berulang kali meminta untuk mencari kebenaran siapa sebenarnya yang tipu?,” soalnya.


Tambah Najib, kesemua pengaliran masuk atau keluar wang dari akaun kerajaan akan dicatat dan ada buktinya.


“Jikalau menteri kewangan tegas dalam pendirian baki pada penghujung bulan April telah jatuh kepada RM450 juta, sudah tentu beliau boleh merujuk kepada pengaliran-pengaliran wang ini dan tidak perlu tanya saya ke mana wang itu pergi,” ujarnya.


Najib berkata  tidak adil untuk membuat tuduhan-tuduhan begini kepada kerajaan BN yang dulu dalam keadaan kita tidak lagi boleh memantau dan merujuk kepada penyata-penyata bulanan terutama bagi bulan April.


Source: SH Nasional

[featured-video-plus]