Sidang kemuncak ketiga Korea bulan depan

in Global by


SEOUL – KOREA SELATAN . Pemimpin Korea Utara, Kim Jong-un mengulangi komitmennya untuk melakukan proses nyahnuklear di Semenanjung Korea.


Media tempatan melaporkan perkara itu selepas Pyongyang dan Seoul mengatur sidang kemuncak ketiga.


“Korea Selatan dan Utara berusaha untuk merealisasikan langkah nyahnuklear tersebut,” lapor Korean Central News Agency (KCNA) memetik kenyataan Jong-un selepas beliau menerima lawatan delegasi peringkat tertinggi dari Seoul, semalam.


Menurut laporan itu lagi, Jong-un mahu Semenanjung Korea yang menyaksikan ketegangan selama beberapa dekad selain peningkatan aktiviti ketenteraan Amerika Syarikat dan sekutunya menjadi aman damai.


“Ia adalah pendirian tetap beliau untuk menghapuskan bahaya konflik bersenjata dan peperangan di Semenanjung Korea tanpa senjata nuklear dan bebas daripada ancamannya,” jelas KCNA.


Difahamkan, kunjungan delegasi Korea Selatan ke Pyongyang itu adalah untuk mengatur sidang kemuncak antara Korea yang baharu dan memecahkan kebuntuan rundingan nyahnuklear antara Korea Utara dan Amerika Syarikat (AS).


Delegasi tersebut diketuai oleh Chung Eui-yong yang merupakan wakil khas Presiden Moon Jae-in.


Kedua-dua belah pihak dilaporkan saling bertukar pendapat tentang jadual sidang kemuncak baharu itu dan mencapai persetujuan memuaskan yang mana ia bakal diadakan pada 18 hingga 20 September depan. – AFP


Source: SH Global

[featured-video-plus]