SPRM bawa kes profil tinggi ke mahkamah

in Nasional by


KOTA BHARU – Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Kelantan dijangka membawa satu kes berprofil tinggi melibatkan salah guna kuasa berhubung tuntutan palsu berjumlah RM600,000 ke mahkamah dalam tempoh terdekat.


Pengarah SPRM negeri, Datuk Moh Samsudin Yusof berkata, kes tersebut yang membabitkan lebih 30 pertuduhan disiasat mengikut Seksyen 18 Akta SPRM 2009.


“Kita percaya kes ini akan mendapat perhatian pendakwa raya kerana kita tidak akan sesekali bawa sesuatu ke mahkamah tanpa bukti yang tidak boleh disangkal.


“Dalam kes ini sahaja ada lebih 30 pertuduhan yang kita cadangkan kepada ibu pejabat dan kita sekarang sedang menunggu semakan sebelum mendapat surat izin untuk mendakwa,” katanya.


Beliau berkata demikian dalam sidang media khas pada hari terakhir perkhidmatannya di Kompleks SPRM Kelantan, hari ini. Hadir sama Timbalan Pengarah (Operasi) SPRM negeri, Rostam Abu Hassan.


Moh Samsudin akan bersara wajib pada 9 September ini selepas 36 tahun berkhidmat bersama SPRM.


Sementara itu, Moh Samsudin memberitahu, sepanjang menerajui SPRM negeri hampir tiga tahun lalu, pihaknya berjaya membuka 167 kertas siasatan awal, mengemukakan 20 pertuduhan selain melakukan 30 tangkapan kes rasuah.


“Biasanya di Kelantan ini banyak kes berkaitan tuntutan palsu melibatkan kakitangan sektor awam atau swasta dan kita siasat di bawah Seksyen 18 Akta SPRM 2009.


“Dalam masa sama, saya dan pegawai juga turun padang bertemu ketua-ketua jabatan kerajaan selain masyarakat bagi memberi penerangan kepada mereka mengenai usaha memerangi rasuah,” katanya.


Source: SH Nasional

[featured-video-plus]