Tangani persepsi negatif terhadap komoditi sawit

in Nasional by


KUALA LUMPUR – Kementerian Industri Utama memperolehi peruntukan tambahan berjumlah RM23 juta daripada Kementerian Kewangan untuk menjalankan promosi menangani persepsi negatif terhadap komoditi sawit negara di Eropah, persidangan Dewan Negara diberitahu hari ini.


Timbalan Menterinya, Shamsul Iskandar Mohd Akin berkata, kementerian akan mengadakan jerayawara seperti Program Suai Kenal Minyak Sawit kepada anggota Parlimen Eropah bagi mereka melihat sendiri amalan mampan industri sawit negara dan meningkatkan kesedaran mereka.


“Dengan peruntukan tambahan ini serta sokongan dan mandat daripada senator dan anggota Dewan Rakyat, kita akan terus bergerak secara sistematik bersama Indonesia dan negara lain agar menjadi satu kuasa yang boleh menentukan pasaran,” katanya.


Beliau menjawab soalan Senator Datuk Mustapa Kamal Mohd Yusoff berhubung langkah proaktif yang diambil kerajaan bagi menangkis serangan resolusi anti minyak sawit Jawatankuasa Alam Sekitar, Kesihatan Awam dan Keselamatan Makanan (ENVI) Parlimen Eropah.


Resolusi antiminyak sawit ENVI yang dibuat pada 23 Oktober tahun lepas, mengharamkan bahan api-bio sawit memasuki Kesatuan Eropah (EU) bermula 2021, manakala bahan api-bio berasaskan tanaman makanan lain mulai 2030. – Bernama


Source: SH Nasional

[featured-video-plus]