Tunda projek HSR, apa kata Najib?

in Nasional by


SHAH ALAM – Bekas Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak berpendapat kerajaan sepatutnya menunggu sehingga tender Projek Rel Berkelajuan Tinggi Kuala Lumpur-Singapura (HSR)  ditutup pada Disember ini.


Katanya, kerajaan juga sewajarnya menunggu selesai  semua bidaan  sebelum membuat keputusan hendak menunda atau batalkan projek berkenaan.


“Ini  memandangkan tender sudah dibuka sejak bulan Januari lalu dan hanya kurang empat bulan lagi sehingga tender tutup. Ini ialah kerana tender ini  untuk pakej pembiayaan kewangan projek,” katanya dalam satu kenyataan di Facebooknya sebentar tadi.


Kerajaan sebelum ini dikehendaki membayar kos penangguhan sebanyak 15 juta Dolar Singapura (RM45.1 juta) kepada negara itu sebelum Januari tahun depan susulan penangguhan HSR.


Perkara itu diumumkan Menteri Hal Ehwal Ekonomi Datuk Seri Mohamed Azmin Ali pada sidang media bersama Menteri Pengangkutan Singapura Khaw Boon Wan di Bangunan Perdana Putra, Putrajaya, baru-baru ini.


Mengulas lanjut Najib berkata, kebiasaannya ialah pakej pembiayaan bagi projek-projek HSR adalah sangat kompetitif dan tidak mustahil untuk pembida-pembida memberi pakej pinjaman dengan kadar faedah kosong peratus  ataupun 0.1 peratus dan tempoh tidak perlu bayar seperti untuk projek-projek HSR di India dan Indonesia.


Katanya, dengan maklumat kos dan pakej pembiayaan daripada pembida, kerajaan boleh membuat keputusan dengan lebih wajar jika hendak batal ataupun tangguh.


“Bagi saya kos untuk menangguhkan projek ini untuk dua tahun bukan RM45.1 juta sahaja tetapi perlu mengambil kira kos kehilangan peluang ataupun “opportunity loss”,” katanya.


Jelasnya, beliau cuba membaca kenyataan Menteri Pengangkutan Singapura  Khaw Boon Wan yang mengatakan ramai di Singapura juga tidak sabar untuk HSR dibina kerana destinasi Kuala Lumpur sangat dinantikan mereka.


Kata Najib lagi, banyak peluang untuk merancakkan industri pelancongan dan pelaburan serta berpuluh ribu peluang pekerjaan akan hilang dalam tempoh penangguhan dua tahun ini.


“Dua bulan lepas, pusat penyelidik dari Institute of Developing Economies di Jepun dengan kerjasama Yusof Ishak Institute di Singapore mengeluarkan hasil selidik mereka bahawa Malaysia akan memperoleh keuntungan AS$1.589bil  (RM6.6 bilion) setiap tahun dengan adanya projek HSR,” katanya.


Katanya lagi, selain daripada itu, seperti mana-mana projek infrastruktur kos pembinaan dua tahun lagi tentu akan lebih tinggi.


“Ini bermakna kos sebenar penangguhan dua tahun ini ialah RM45 juta ditambah RM13.2 bilion campur kenaikan kos pembinaan,” katanya.


Justeru katanya, kerajaan juga perlu mendedahkan laporan impak ekonomi untuk projek ini supaya rakyat boleh menilai dengan sendiri kebaikan projek ini dari segi pembangunan negara dan pulangan pelaburan.


Source: SH Nasional

[featured-video-plus]