Dasar utama negara dikaji semula: Azmin

in Nasional by


KUALA LUMPUR – Dasar utama negara akan dikaji semula bagi memastikan pembangunan ekonomi mampan serta agihan yang saksama.


Menteri Hal Ehwal Ekonomi Datuk Seri Mohamed Azmin Ali berkata, sektor perkhdimatan dan pembuatan Malaysia yang dinamik terus menarik pelaburan dari syarikat global, dan oleh itu dasar negara perlu ditambah baik.


“Pembaharuan ekonomi perlu untuk terus memastikan Malaysia segar dan cergas, dan berkembang menjadi kuasa ekonomi serantau.


“Memandangkan kita menguasai bahagian ekonomi yang lebih besar, kami akan memastikan semua rakyat Malaysia memperoleh manfaat daripada pertumbuhan ini,” katanya pada sesi makan tengah hari Aspirasi Ekonomi Malaysia di Asean, yang berlangsung sempena Persidangan Perniagaan Selangor Asean 2018 kedua di sini hari ini.


Mohamed Azmin berkata ekoran konflik perdagangan Amerika Syarikat-China, Malaysia menyaksikan peningkatan minat daripada perniagaan Asean, yang melihat negara itu sebagai lokasi pelaburan yang ideal untuk menjadi penampan bagi menghadapi sebarang kemungkinan yang akan datang.


Oleh itu, menerusi pembaharuan tersebut, Malaysia akan dapat memperbaiki institusi dan infrastrukturnya, serta mengukuhkan kemahiran tenaga buruh, katanya.


Dalam tempoh Januari-Julai 2018, Mohamed Azmin berkata Malaysia mengeksport barangan bernilai RM162 bilion kepada negara anggota Asean, yang mewakili 28 peratus daripada keseluruhan eksportnya.


Malaysia juga mengimport produk bernilai RM127 bilion dari Asean, menyumbang satu perempat daripada jumlah import


“Tidak dinafikan bahawa Malaysia komited dengan Asean, dan terdapat banyak potensi yang belum diteroka untuk mengembangkan eksport negara ke pasaran yang besar di Vietnam, Indonesia dan Filipina,” katanya.


Mohamed Azmin berkata semua dasar, arahan dan inisiatif baharu yang diterajui oleh kerajaan Pakatan Harapan akan dibincangkan dan dibahaskan dalam sesi Parlimen pada Oktober apabila parti gabungan itu membentangkan kajian semula separuh penggal. – Bernama


Source: SH Nasional

[featured-video-plus]