Hati-hati sebar maklumat: Mais

in Nasional by


SHAH ALAM – Majlis Agama Islam Selangor (Mais) menasihati umat Islam di negara ini berhati-hati dalam menyebarkan maklumat dan tidak terburu-buru membuat spekulasi serta tuduhan tidak berasas membabitkan sebarang fatwa.


Merujuk isu zakat layak diberi kepada golongan lesbian, gay, biseksual dan transgender (LGBT) yang tular di media sosial sejak Rabu lalu, Pengerusi Mais, Datuk Mohammed Khusrin Munawi meminta umat Islam melihat keseluruhan fatwa tersebut.


[ARTIKEL BERKAITAN: Mufti Selangor anggap LGBT penyakit mental]


Menurutnya, tindakan menyebarkan maklumat tidak benar merupakan fitnah besar dan mengakibatkan agensi yang terlibat menyantuni golongan tersebut dipandang hina oleh masyarakat.


“Mais bertindak proaktif dalam memulihkan dan memerdekakan golongan ini yang termasuk dalam golongan asnaf Al-Riqab seperti dinyatakan dalam Fatwa Jenis Penerima Asnaf Al-Riqab Selangor yang diwartakan pada 7 Jun 2012.


“Penerima agihan zakat Al-Riqab bukan sahaja LGBT malah termasuklah individu yang dibelenggu masalah sosial dan akidah namun berusaha untuk kembali kepada fitrah,” katanya menerusi satu kenyataan kepada Sinar Harian, hari ini.


Beliau berkata, golongan tersebut termasuk yang terlibat dengan ketagihan dadah; masalah jenayah syariah; ajaran sesat dan menyimpang dari ajaran Islam; terlanjur berzina dan buang anak; kehidupan tidak bermoral dan yang mengamalkan gaya hidup songsang.


[ARTIKEL BERKAITAN:  Zakat agar LGBT bebaskan diri dari belenggu dosa]


Bagaimanapun katanya, zakat diagih kepada golongan tersebut bukan berbentuk wang tunai secara terus sebaliknya dalam bentuk program pemulihan dijalankan institusi, pertubuhan bukan kerajaan (NGO) dan individu yang dibenarkan oleh undang-undang dan hukum syarak.


“Institusi ini mestilah yang berfungsi laksana tugas membebas, mengurus, melindungi, merawat dan memerdekakan golongan ini supaya mereka dapat jalani kehidupan sempurna ikut acuan Islam.


“Kos program tersebut yang dibiayai Lembaga Zakat Selangor menerusi peruntukan asnaf Al-Riqab,


“Justeru itu, Mais juga minta mereka yang terlibat dengan masalah sosial dan akidah untuk menyertai program pemulihan di rumah pemulihan berdaftar dengan Mais. Segala pertanyaan boleh dibuat dengan hubungi Bahagian Al-Riqab Mais ditalian 0333614080.


” Pihak Mais juga mengalu-alukan sebarang bentuk kerjasama dari mana-mana pihak untuk pulihkan masyarakat yang terlibat masalah sosial dan akidah,” katanya.


Terdahulu, atas dasar kebajikan dan kasih sayang, 10 golongan yang terbelenggu dengan gaya hidup songsang dan ingin kembali ke pangkal jalan layak dibantu melalui perantaraan mana-mana institusi di bawah Asnaf Al-Riqab Zakat Selangor.


Mufti Selangor, Datuk Mohd Tamyes Abd Wahid berkata, berkata, fatwa berkenaan jenis penerima bantuan Asnaf Al Riqab Selangor sudah diputuskan dalam Mesyuarat Jawatankuasa Fatwa negeri itu sejak 14 Mei 2012.


Bagaimanapun katanya, perlu ditegaskan penerima yang layak menerima bantuan zakat Al-Riqab hanya melalui perantaraan mana-mana institusi, pusat, pertubuhan bukan kerajaan (NGO) lslam dan individu perseorangan yang dibenarkan oleh undang-undang dan hukum syarak.


Source: SH Nasional

[featured-video-plus]