Kaji laksana sistem bil bersepadu IWK, bil air

in Nasional by


SHAH ALAM – Kementerian Sumber Air, Tanah dan Sumber Asli sedang mengkaji pelaksanaan sistem bil bersepadu perkhidmatan Indah Water Konsortium Sdn Bhd (IWK) dan bil bekalan air untuk dilaksanakan selewat-lewatnya tahun ini.


Menterinya, Dr Xavier Jayakumar berkata, perkhidmatan itu telah dilaksanakan di Wilayah Persekutuan Labuan dengan menggabungkan dua perkhidmatan utiliti berkenaan di dalam satu bil.


Menurutnya, pelaksanaan itu telah berjaya memperoleh hasil yang baik dan kementerian berhasrat memperluaskan ke beberapa negeri termasuk di Selangor, Wilayah Persekutuan dan Pulau Pinang.


“Sistem pembayaran satu bil ini nanti dapat menjimatkan masa pengguna selain dapat memberi perkhidmatan yang terbaik kepada rakyat.


“Buat masa ini IWK berdepan dengan kerugian apabila kutipan yang dibuat tidak mencukupi untuk menampung kos pentadbiran malah kementerian terpaksa membayar RM 150 juta setahun dan mereka beroperasi,” katanya kepada pemberita selepas Bicara Minda Kita di Abad 21: Tak Selesai Lagi Isu Air? di Kompleks Kumpulan Media Karangkraf, hari ini


Bagaimanapun Xavier berkata, buat masa ini pihaknya tidak berhasrat menaikkan kadar caj IWK tetapi masih menggunakan caj yang sama seperti yang ditentukan.


Katanya, kerana sebab itu beliau mencadangkan kutipannya melalui implementasikan bayaran bil bersepadu berkenaan.


“Ia juga sebagai menjamin masa depan IWK sekaligus membolehkan perjalanan perkhidmatannya berjalan lancar,” katanya.


[ARTIKEL BERKAITAN:  Bil tunggal untuk perkhidmatan bekalan air pembetungan]


[ARTIKEL BERKAITAN: Indah Water lancar perkhidmatan IWK e-bill]


Sebelum ini, Kementerian Tenaga, Teknologi Hijau dan Air memperkenalkan sistem bil bersepadu atau tunggal bagi perkhidmatan bekalan air dan pembetungan.


Pelaksanaan sistem itu pada asalnya adalah antara usaha kerajaan untuk meningkatkan pengalaman konsep hijau.


Source: SH Nasional

[featured-video-plus]