Larangan merokok: Peniaga tak perlu risau

in Nasional by


SHAH ALAM – Peniaga tidak perlu risau perniagaan merosot disebabkan cadangan kerajaan mengisytiharkan larangan merokok dalam restoran terbuka di seluruh negara.


Ahli Lembaga Majlis Kawalan Tembakau Malaysia (MCTC), Dr Siti Nurbaya Shahrir berkata, peniaga sepatutnya lebih menjaga golongan majoriti (bukan perokok) berbanding minoriti (perokok).


Menurutnya, beberapa negara luar yang mengamalkan polisi sedemikian membolehkan peniaga mendapat lebih untung kerana jumlah pelanggan makin ramai.


“Sekarang jangan fikir keuntungan menurun atau tidak, buat dulu. Restoran memang perlu jadi kawasan larangan merokok untuk melindungi mereka yang tidak merokok.


“Kalau mereka (peniaga) risaukan pasal keuntungan, negara luar ada yang buat tapi didapati lagi ramai orang datang ke kedai mereka sebab orang yang tak merokok lebih ramai.


“Orang yang merokok kalau datang restoran, mereka duduk lama dan minum saja. Kalau berkeluarga, datang sekejap, beli makanan banyak. Jadi, pelanggan lebih ramai,” katanya kepada Sinar Harian.


Tambahnya lagi, bukan perokok berasa kurang selesa dengan kehadiran perokok di sekeliling mereka dan peniaga perlu juga menghormati situasi tersebut.


“Kami rasa ia mengganggu. Di Malaysia tidak ramai yang merokok, yang merokok hanya 21 peratus. Kenapa nak lebihkan mereka yang merokok dan ketepikan yang tidak merokok.


“Kita memang dah lama nantikan keputusan ini sebab merokok melibatkan umum. Ramai wanita dan kanak-kanak yang tidak merokok turut terjejas,” ujarnya.


Source: SH Nasional

[featured-video-plus]