Malaysia bebas virus African Swine Fever: Tze Tzin

in Nasional by


PUTRAJAYA – Malaysia diisytiharkan bebas daripada African Swine Fever (ASF) sejak virus itu dikesan berleluasa di Benua Asia sejak 3 Ogos lalu.


Timbalan Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani,  Sim Tze Tzin berkata, pihaknya juga telah mengambil langkah-langkah proaktif, antaranya menghentikan semua produk berkaitan babi hidup dan beku yang diimport dari enam negara buat sementara waktu dan ia berkuat kuasa serta-merta.


Menurutnya, enam negara tersebut ialah China, Poland, Rusia, Hungary, Moldova (sebuah negara di Timur Eropah) dan Ukraine.


“Oleh demikian,  kerajaan memandang serius dan sangat mengambil berat risiko yang ada serta telah bertindak proaktif untuk memastikan tiada kemasukan virus ini ke Malaysia melalui pengimportan daging dan produk babi.


“Kita tidak boleh membenarkan industri babi diancam seperti dahulu ketika penularan virus Nipah. Kita mahu industri ini tahu kepentingan menjaga alam sekitar, kurangkan pencemaran dan mampu meningkatkan tahap sara diri secara kompetitif,”  katanya selepas mengadakan perjumpaan dengan pihak berkepentingan dan penternak babi, mengenai risiko penyakit ASF.


Menurut Tze Tzin, sejak kes wabak ASF dikesan, sebanyak tujuh foci telah dikenal pasti yang melibatkan lima provinsi di China iaitu Liaoning, Henan, Anhui, Jiangsu dan Zhejiang, dan Pertubuhan Makanan dan Pertanian (FAO) juga telah melahirkan kebimbangan penyakit itu boleh mengancam Semenanjung Korea dan negara lain di Asia Tenggara jika China tidak dapat membendung wabak itu dengan cepat.


Sehingga tahun ini,  terdapat sebanyak 648 buah ladang babi yang didaftarkan di Malaysia termasuk di Sabah dan Sarawak dengan populasi sebanyak 1.67 juta ekor dan negeri Perak adalah pengeluar utama ternakan babi diikuti Pulau Pinang, Selangor, Johor dan Melaka, katanya.


“Malaysia menghasilkan sebanyak 209,264 tan metrik daging babi setahun, dan penggunaan daging babi adalah sebanyak 223,200 tan metrik setahun dengan purata pengambilan daging itu sebanyak 17.6 kg setahun bagi setiap pengguna.


“Pengeluaran daging babi adalah tidak mencukupi dan telah ditampung melalui daging babi import terutama dari Jerman, China, Sepanyol, Vietnam dan beberapa lagi negara lain sejumlah 25,321 tan metrik daging babi setahun,” katanya, sambil menambah tahap sara diri daging babi telah mencapai 93.7 peratus.


Mengulas lanjut, Tze Tzin berkata setiap kali terdapat permohonan import, Jabatan Perkhidmatan Veterinar Malaysia akan menjalankan analisis risiko terhadap pengimportan daging babi tersebut.


Bagi mencegah kemasukan virus itu ke Malaysia, Tze Tzin berkata pihaknya telah mengambil beberapa langkah antaranya adalah melalui kawalan import dengan cara menghalang pengimportan produk dan ternakan dari negara yang terjangkit.


“Ini termasuk sisa makanan dari kapal terbang dan kapal laut dari negara terjangkit hendaklah dimusnahkan dengan sempurna dan tidak dibawa keluar dari kawasan pelabuhan.


“Bagaimanapun, penyakit ini tidak boleh menjangkiti manusia dan perlu dielakkan kemasukan babi.- Bernama


Source: SH Nasional

[featured-video-plus]