Muhyiddin makin sihat, berat badan turun hampir 10 kg

in Nasional by


DAMANSARA – Menteri Dalam Negeri, Tan Sri Muhyiddin Yassin mendedahkan kesihatan beliau kini semakin pulih namun berat badannya menyusut hampir 10 kilogram disebabkan sesi kemoterapi dijalaninya.


Begitupun, katanya, sesi rawatan tersebut bukan sahaja menyebabkan selera makannya berkurang namun badannya terutama bahagian kaki terasa lemah dan beliau menghadapi sedikit masalah untuk menstabilkan badan ketika berjalan.


Menurutnya, proses pemulihan beliau berlaku melalui sesi kemoterapi dan bekas Timbalan Perdana Menteri itu perlu melengkapkan 12 sesi rawatan dalam masa enam bulan.


“Bila dalam keadaan rawatan, saya jalan belum kukuh lagi badan saya dah susut dekat lapan ke sembilan kilogram. Kaki saya kecil macam ikan parang, nak jalan nak stabil kena ambil masa sikit.


“Bila jalani rawatan kemoterapi, kita tak boleh jangka reaksi badan kita. Ini baru satu rawatan., doktor kata ada trend (kesihatan) naik kemudian menurun kesihatan kita. Macam hari itu, saya terpaksa masuk balik hospital lima hari.


“Mudah-mudahan selepas selesai 12 kali sesi rawatan, keadaan akan bertambah baik walaupun banyak pakar mengatakan sakit macam ini ambil masa lama untuk pulih,” katanya ketika ditemui di rumahnya, hari ini.


Meskipun penyakit dihidapinya agak serius, Muhyiddin menganggap itu merupakan sebahagian daripada cabaran hidup dan beliau perlu terus kuat untuk menghadapinya.


Tambah Ahli Parlimen Pagoh itu, beliau bersemangat untuk pulih kembali kerana mahu menyambung kerjanya selain mahu meluangkan masa bersama anak dan cucunya.


“Bila dah sakit, ini bukan kita punya pilihan, ini takdir ALLAH. Itu pun ada hikmah sebab kita temui benda (sel kanser) itu lebih awal, peringkat pertama tapi kalau nak baik, tak boleh dengan pembedahan saja.


“Bila masuk ubat (sesi kemoterapi) itu semua, selera bertukar, rasa pahit saja. Minum air (rasa) pahit, makan pahit, selera tak ada jadi susut badan tapi semangat kena kuatlah,” katanya.

 


Source: SH Nasional

[featured-video-plus]