Novichok: Pemimpin Barat sokong Britain

in Global by


LONDON – BRITAIN. Amerika Syarikat, Jerman, Perancis dan Kanada, semalam bersetuju dengan penilaian Britain bahawa kerajaan Rusia ‘hampir pasti’ terlibat dalam insiden racun menggunakan agen saraf ke atas bekas perisik Moscow, Sergei Skripal dan anak perempuannya di Salisbury pada Mac lalu.


“Kami mengulangi kemarahan kami terhadap penggunaan agen saraf, Novichok di Salisbury pada 4 Mac lalu. Laporan siasatan ini akan menguatkan lagi hasrat kami untuk bekerjasama memerangi rangkaian risikan asing, penggunaan senjata kimia dan mempertahankan negara dan rakyat dari sebarang kegiatan jahat,” kata Donald Trump, Angela Merkel, Emmanuel Macron dan Justin Trudeau dalam satu kenyataan bersama.


Kesemua mereka turut menyambut baik perkembangan siasatan itu, namun menggesa individu yang mempunyai maklumat supaya tampil kepada pihak berkuasa Britain.


Pemimpin negara Barat itu turut mendesak Rusia memberikan pendedahan sepenuhnya tentang program agen saraf Novichok yang digunakan dalam kejadian itu.


Ketika mesyuarat Majlis Keselamatan PBB (UNSC) untuk membincangkan serangan itu, Rusia bagaimanapun menolak bukti yang diberikan Britain dan menyifatkan ia sebagai satu pembohongan.


Ketua Agensi Perisikan Komunikasi Britain (GCHQ), Jeremy Fleming berkata, sekutu mereka menolak kenyataan Kremlin yang didakwa biadab untuk melemahkan perintah berdasarkan peraturan antarabangsa.


Menurutnya, komuniti risikan telah menyokong siasatan teliti dan sangat kompleks terhadap apa yang berlaku selepas Skripal dan anaknya, Yulia diracun.


Susulan itu, Britain menamakan dua lelaki, Alexander Petrov dan Ruslan Boshirov dipercayai anggota perkhidmatan tentera Rusia, GRU sebagai suspek utama.


Moscow sekali lagi menafikan tuduhan itu yang mengaitkan mereka dengan insiden tersebut. – BBC


Source: SH Global

[featured-video-plus]