Saya sanggup beri bantuan: Muhyiddin

in Nasional by


DAMANSARA – Menteri Dalam Negeri, Tan Sri Muhyiddin Yassin menyatakan kesediaannya membantu menteri-menteri baharu dalam Pakatan Harapan (PH) yang dilihat masih belum cukup berpengalaman dalam mentadbir negara.


Menurutnya, beliau mengakui pentadbiran kerajaan sekarang mempunyai kelemahan dan semua menteri baharu memerlukan masa untuk memahami tugas dan tanggungjawab mereka.


Beliau juga menasihatkan menteri merujuk kepada Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad sekiranya berhasrat untuk membuat keputusan penting melibatkan kementerian mereka.


“Saya akui sendiri dan rakyat tahu memang ada kelemahan dalam pentadbiran kerajaan. Sebahagian besar daripada mereka (menteri, timbalan menteri) tiada pengalaman.


“Mereka memerlukan masa. Saya fikir Dr Mahathir tahu dan rakyat pun terima. Bagi saya, apa yang penting di peringkat awal ini adalah rakan menteri cuba dapatkan nasihat daripada mereka yang berpengalaman.


“Saya sanggup beri bantuan atau boleh rujuk perkara penting kepada Tun. Ada hal yang boleh dibawa berunding dengan Perdana Menteri,” katanya dalam sesi wawancara khas di kediaman beliau, di sini, semalam.


Bekas Timbalan Perdana Menteri itu berkata, pegawai kerajaan perlu memainkan peranan penting dalam menegur menteri kerana mereka lebih berpengalaman dan lebih lama bertugas di kementerian.


“Pegawai kerajaan boleh bantu memberi taklimat betul-betul dan beri pandangan kepada menteri. Mereka (pegawai kerajaan) dah lama, menteri baru dua bulan bertugas.


“Perlu ada perbincangan antara menteri dengan pegawai kerajaan. Macam saya dulu, banyak benda bincang dengan pegawai dan akhirnya boleh dapat kata putus,” ujarnya.


Dalam perkembangan lain, Ahli Parlimen Pagoh itu mendedahkan kesihatan beliau kini semakin pulih, namun berat badannya susut hampir 10 kilogram disebabkan rawatan kemoterapi dijalaninya selepas pembedahan baru-baru ini.


“Saya masih dalam rawatan kemoterapi selepas buat pembedahan. Proses pemulihan itu berlaku menerusi kemoterapi dan saya kena buat 12 kali dalam tempoh enam bulan.


“Cuma bila nak jalan, nak stabilkan badan ambil masa sikit, kaki saya rasa lemah. Bila lakukan kemoterapi, kita tak boleh jangka reaksi badan kita,” katanya.


Beliau berharap kesihatannya akan semakin pulih selepas beliau selesai menjalani sesi kemoterapi.


Source: SH Nasional

[featured-video-plus]